Namun, anak tetap anak, walau apa pun yang terjadi dan sejauh mana pun kejayaan mahupun kegagalan mereka, mereka tetap memerlukan pendidikan dan teguran dari ibu bapa, kerana proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat!!! Seandainya akal diatasi oleh emosi, maka sumbanglah rentak tari dalam hubungan kekeluargaan, sedangkan institusi kekeluargaan adalah asas kepada pembentukan masyarakat dan negara. Andai kecundang pengurusan dan hubungan dalam institusi asas ini, maka kecundang pulalah pola pembangunan dan sahsiah kemasyarakatan, dan ini menjurus pula kepada keruntuhan sesebuah bangsa dan negara. Kerana itu, ibu bapa sebagai ketua dalam sesebuah keluarga, memainkan peranan utama dalam membimbing dan menangani hubungan dua hala di antara anak-anak dan ibu bapa. Apabila hubungan dua hala ini harmoni maka sejahteralah institusi keluarga dan generasi yang terbentuk dari hubungan harmoni ini akan pasti menjana kemajuan bangsa dan negara! Justeru kita sebagai ibu bapa, tidak perlu malu untuk memperbaiki kekhilafan diri atau keterlanjuran kata dan tindakan, terhadap diri, pasangan, anak-anak, malah terhadap insan di sekeliling kita.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada sifat ego, meskipun sebesar zarah" ~Hadis riwayat Muslim
Mari kita berbalik kepada pangkal permasaalahan... Sebenarnya mengapa ya, dalam kehidupan seharian sering berlaku salah tafsir dan hati yang merajuk atau marah membara, terutama ketika berdepan dengan karenah anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Adakah dek kerana lamanya berpisah dengan mereka, terutama yang belajar di sekolah berasrama penuh dan lain-lain? Pernahkah terfikir oleh kita sebagai ibu bapa, berapa lama sangatkah masa berkualiti yang kita habiskan bersama anak-anak? Terlalu cepat rasanya masa merampas segalanya. Seakan baru semalam mereka dilahirkan dari kandungan ini. Seakan semalam juga rasanya mereka terkedek-kedek datang mencium tangan dan pipi kita sebagai pamitan sebelum masuk tidur ke bilik masing-masing...
Kini segalanya telah berubah, seolah dalam sekelip mata... KENYATAANNYA, ia sebenarnya mengambil masa sekurang-kurangnya 5 tahun Masa ini adalah jangka waktu dari umur anak-anak kita 13 tahun/tingkatan 1 sehingga 17 tahun/tingkatan 5. Pada waktu ini sosialisasi remaja berkembang dengan pesat dan banyak dipengaruhi oleh faktor sekeliling seperti gaya hidup rakan-rakan sebaya yang mereka gauli serta pengaruh mediamasa seperti filem, televisyen, muzik teramat penting, cara pendidikan ibu bapa (bagi yang bersekolah harian dan tinggal di rumah) dan juga cara pendidikan guru-guru dan warden (bagi yang bersekolah di sekolah berasrama).
Masa telah merubah wajah-wajah comel anak-anak kita menjadi putera-puteri yang gagah, menawan dan matang pada paras rupanya.... Hanya sekadar pada paras rupa dan susuk tubuhkah kematangan mereka..? Bagaimana dengan pengisian rohani mereka..? Adakah penuh terisi ilmu dan iman di dada selama 5 tahun mereka di perantauan, dalam usaha menuntut ilmu untuk keperluan bekalan hidup di dunia dan akhirat..? Adakah mereka mengikuti jalan yang benar mengikut tuntutan syari'at..? Benarkah harapan kita sebagai ibu-bapa untuk melihat kejayaan anak-anak di gelanggang kehidupan dunia (sekurang-kurangnya) akan tercapai dengan kejayaan anak-anak kita memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh dan keluar dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebaik tamat tingkatan 5..? Adakah kita hanya mengejar kecemerlangan di atas sekeping kertas..?
Adakah guru-guru, ustaz-ustaz dan warden-warden di sekolah-sekolah berkenaan jujur dan ikhlas mendidik anak-anak bangsa ke arah kecemerlangan sahsiah dan akademik mereka? Bersungguh-sungguhkah mereka berusaha ke arah itu..? Mampukah mereka jika dibandingkan jumlah mereka dengan bilangan pelajar yang mereka perlu didik dan asuh..? Sedangkan seorang anak yang dididik oleh dua orang 'pendidik' iaitu kedua ibu dan bapa pun kadang-kadang 'lari' dari acuannya!
Apa pula peranan kita sebagai ibu bapa? Cukupkah sekadar menjeguk anak-anak sebulan atau 2 bulan sekali di asrama, menalifon atau ber'sms' dengan mereka 2 atau 3 kali seminggu? Tentunya TIDAK... Tanggung jawab sebagai ibu bapa tidak terhenti apabila anak-anak berjaya memasuki sekolah-sekolah untuk dijaga oleh guru-guru atau warden-warden bertugas. Selain wang ringgit yang perlu diberi untuk perbelanjaan makan minum anak-anak, mereka tetap memerlukan kasih sayang dan perhatian dari ibu bapa, walau di mana sahaja mereka berada. Doa, kasih sayang dan tunjuk ajar dari ibu bapa akan terus diperlukan anak-anak, walaupun mereka sudah mula matang dan pandai berfikir serta menapis mana yang baik dan mana yang buruk dalam kehidupan mereka. Semakin jauh perjalanan, semakin banyak pengalaman.. Semakin bertambah usia, semakin banyak rempah ratus kehidupan yang ibu bapa lalui, serta boleh menjadi teladan dan pengajaran berguna untuk disampaikan ketika mendidik anak-anak.
Bagaimana pun, jangan pula kita menggunakan dasar 'perintah dan patuh' ke atas anak-anak dalam mendidik mereka, terutama setelah mereka menginjaki usia remaja. Adalah normal jika mereka mempunyai percanggahan pendapat dan cara yang berbeza dalam menangani sesuatu persoalan dari kita. Perbincangan secara terbuka dan pertukaran pendapat di antara anak-anak dan ibu bapa rasanya dapat membantu jurang komunikasi di antara dua pihak. Semakin dewasa remaja memerlukan banyak perhatian dan pengawasan dari ibu bapa mereka agar tidak hanyut dalam kancah pergaulan yang tidak sihat dalam masyarakat di luar rumah. Apa pun, sebarang teguran yang diberi hendaklah secara diplomasi dan bertoleransi agar tidak ada kejutan pada jiwa anak-anak remaja, melainkan ianya bersangkutan dengan hukum agama.
Ibu bapa seharusnya mempunyai sifat yang terbuka untuk menerima perubahan sosio-budaya anak-anak mereka, sesuai dengan zaman keremajaan mereka. Asalkan mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum agama, berikanlah sedikit ruang untuk anak-anak merasai keindahan zaman remaja seperti keluar bersama rakan-rakan sebaya, melakukan aktiviti-aktiviti sihat bercorak riadah mahupun keilmiahan. Janganlah kita sentiasa memandang negatif terhadap semua aktiviti luar yang mereka ceburi. Selidiki aktiviti luar rumah yang mereka lakukan, serta ambil tahu dengan siapa mereka berkawan atau bergaul. Sesekali undanglah rakan-rakan anak-anak remaja kita berkunjubg ke rumah dengan mengadakan majlis kecil-kecilan agar kita dapat mengenali dan menapis latar belakang mereka. Dengan ini kita dapat memberi panduan kepada anak-anak kita, siapa kawan yang boleh diikuti dan siapa kawan yang hanya perlu dikenali tetapi tidak perlu dirapati.
Sokongan moral perlu diberikan terhadap bidang yang anak-anak minati. Saya perhatikan ramai ibu bapa yang cenderung memaksa anak-anak (secara keras atau dalam lembut) melakukan aktiviti yang ibu bapa minati dan seterusnya memaksa juga anak-anak mereka memilih bidang pengajian dan kerjaya yang dirasakan bagus dan sesuai untuk anak-anak mereka, mengikut pendapat ibu bapa, tanpa mengambil kira minat dan kecenderungan anak-anak mereka! Sebagai contoh, seorang bapa yang meminati golf atau tenis akan membeli peralatan tersebut dan berusaha menghantar anak-anak mereka belajar golf dan tenis dengan harapan yang besar, bahawa suatu hari nanti anak mereka akan berjaya dalam bidang tersebut. Sebagai menunjukkan kepatuhan, anak-anak akan menurut kehendak orang tua mereka, sehingga sampai pada suatu ketika mereka didatangi perasaan jemu dan marah dalam diam akibat percanggahan minat yang bermain dalam jiwa mereka selama ini. Akibat dari konflik ini, semakin dewasa si anak akan sedikit demi sedikit membantah 'arahan' dan pendapat bapa mereka sebagai tanda 'protes'. Sedangkan dari dalam diri anak-anak tersebut mungkin meminati bidang seni seperti muzik atau grafik yang tidak disukai oleh si bapa!
Di satu ketika yang lain, si ibu mungkin seorang yang amat merisaukan masa depan anak-anaknya sehingga memaksa anak-anaknya memilih bidang tertentu yang dirasakannya lebih menjamin masa depan, seperti bidang perubatan, kejuruteraan, perguruan dan sebagainya, yang secara sedar atau tidak telah mengenepikan minat dan kebolehan sebenar anaknya. Di sini juga banyak berlaku konflik di mana anak akan merasa bersalah jika tidak menurut kehendak ibu bapa, tetapi dalam masa yang sama mereka memendam perasaan tidak puas hati terhadap mereka. Ada anak-anak yang cuba menegakkan kecenderungan mereka secara terang dengan membantah atau tidak menuruti kehendak ibu bapa. Ada pula yang menunjukkan protes dengan cara tidak berusaha untuk belajar dan lulus dalam bidang yang dipilih oleh ibu bapa mereka. Kesemua keadaan ini amat merugikan kedua pihak yang terlibat dan membina jurang persefahaman di antara mereka,umpama 'retak menanti belah'. Sebaiknya berilah anak-anak hak untuk memilih aktiviti dan kerjaya mereka bersesuaian dengan minat dan jiwa mereka. Apa yang harus dilakukan ialah memberi galakan dan sokongan dalam bidang yang mereka pilih dan bukan menjadi 'penentu' hala tuju kecenderungan mereka. Bagi yang berpegang kepada ibu bapa sentiasa betul, sedarlah bahawa itu bertentangan dengan ajaran Islam. Islam sentiasa menggalakkan perbincangan (musyawwarah) dan suara ramai, dalam masa yang sama kepatuhan kepada ketua adalah ditekankan.
Ada anak-anak remaja yang tersimpang dari jalan biasa secara sengaja atau tidak, akibat dari pergaulan dengan rakan-rakan mereka. Bermula dari menghisap rokok, remaja ini akan hanyut dalam keseronokan melepak di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan rakan sebaya. Malah ada yang terpesong jauh dari ajaran agama dan norma kemasyarakatan. Memang sakit mata memandang dan hati yang menahan perasaan melihat kelakuan mereka yang kurang sopan dan mengaut budaya asing sebagai identiti baru hidup mereka. Bagi anak-anak seperti ini apa sahaja pendapat ibu bapa yang cuba membetulkan corak kehidupan mereka amat bertentangan dengan pegangan mereka dan akan ditentang habis-habisan. Kadangkala ada yang sanggup keluar dari rumah dan tinggal di rumah kawan kerana tidak ingin mendengar leteran dan nasihat ibu bapa, setiap kali bertembung muka jika tinggal sebumbung. Ada pula yang berani menentang setiap kata nasihat ibu bapa dan semakin menunjukkan sikap biadab apabila ditegur. Keadaan semakin parah jika ibu bapa menangani konflik ini dengan kekerasan, samada melalui kata-kata mahu pun tindakan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun setiap anak adalah fitrah, maka wajib bagi ibu bapa untuk terus membimbing dan memberi panduan hidup kepada anak-anak yang pernah menjadi permata hati dan ditunggu-tunggu kelahiran mereka suatu masa dahulu. Dalam keadaan sebegini, tanganilah masalah dengan berpadukan akal dan bukannya emosi kemarahan dan kebencian. Tunjukkanlah kasih sayang yang ikhlas dalam menegur dan membimbing anak-anak ke jalan yang benar. Belajarlah membuka ruang untuk mendengar luahan rasa dan ketidakpuasan hati anak-anak tanpa cepat menghukum mereka. Berilah peluag untuk mereka memberi pendapat mengenai sesuatu perkara dengan ikhlas dan sabar, tanpa menjadi seorang pemerintah... Seandainya ada teguran yang dilontarkan dari pihak anak-anak terhadap diri atau pegangan dan prinsip ibu bapa, fikirkanlah dan terimalah jika ianya betul, tanpa menegakkan ego sebagai orang tua. Percayalah, apabila kita mendengar suara anak-anak, mereka juga akan mendengar suara kita! Ingatlah bahawa anak-anak asalnya umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka samada menjadi Nasrani ataupun Majusi! Kasihilah anak-anak. Tunjukkanlah perasaan kasih sayang kepada mereka. Cium dan peluklah anak-anak, meskipun umur mereka telah menjangkau dewasa!
Hapuskanlah jurang perselisihan dengan doa kepada Allah s.w.t agar anak-anak cepat sedar serta menginsafi diri dan kembali ke jalan yang diredhai Allah. Amalkanlah tatacara yang sihat bermula dari rumah, yang sepatutnya diamalkan sebaik setiap muslimin dan muslimat bertemu jodoh, iaitu utamakan kekeluargaan secara Islam. Bersolat jemaahlah pada masa keluarga dapat berkumpul bersama, terutama di waktu Maghrib, Isyak dan Subuh. Sudahilah acara berjemaah ini dengan bacaan Yaasin dan doa-doa untuk kesejahteraan iman dan keluarga. Adakanlah giliran untuk menjadi imam sewaktu bersolat dalam keluarga di antara bapa dan anak-anak lelaki, agar membentuk disiplin dan kepatuhan kepada ketua.
Pujuk dan galakkan anak-anak agar menghadiri kelas-kelas motivasi dan kuliah agama. Bagi yang berkemampuan, sesekali bawalah keluarga bercuti ke tempat-tempat peranginan yang jauh dari hiruk-pikuk kota dan tugasan harian, agar setiap ahli keluarga mendapat ketenangan dan menjalin hubungan erat di antara keluarga. Amalkanlah segala sifat yang baik dengan berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Ingatlah, learning is a never ending process... Mulakanlah dengan diri sendiri. Anak-anak lahir untuk mematuhi! Mereka adalah darah daging dan tanggung jawab kita sehingga hembusan nafas terakhir. Semoga kita berjaya mendidik anak-anak kita menjadi hamba Allah yang sentiasa menginsafi diri dan insan yang berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat! InsyaAllah....
May 14, 2012 at 3:21 PM
entry menarik.
Post a Comment