AL-FATIHAH
**************************************************
Manisnya Iman: Zikirullah
Bersihkan Hati Dengan Berzikir
Hati adalah alat bagi mengingat dan berzikir kepada Allah s.w.t. Tempat untuk kita sedar dan insaf bahawa ALLAH itu wujud dan kita ini hamba dan ciptaanNya. Hati adalah tempat untuk merasa berTuhan. Untuk merasakan bahawa ALLAH itu Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Hebat dan Maha Kaya. Untuk merasakan ALLAH itu Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Untuk merasakan ALLAH itu Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan sebagainya.
Hati yang berzikir kepada Tuhan ialah hati yang merasa berTuhan iaitu yang merasakan segala sifat-sifat Tuhan yang Maha Sempurna. Hati yang merasa hebat, gerun dan takut pada ALLAH. Hati yang merasa dilihat, diawasi dan dikawal oleh ALLAH. Hati yang merasakan Tuhan ada peranan dalam hidupnya dan dalam pentaadbiran alam ini. Hati yang merasakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari pengetahuan dan penguasaan Tuhan. Hati yang merasa bersyukur di atas segala nikmat Tuhan, yang merasa perlu kepada Tuhan dan yang merasakan bahawa akhirnya nanti kesemua ciptaan ini akan kembali kepada Tuhan Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t.
Perasaan seperti ini berkesan pada hati. Apakah kesannya? Ada yang berkata berzikir dan merasa berTuhan ini akan menenangkan jiwa. Mereka merujuk kepada ayat Al Quran yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa dengan mengingati ALLAH itu hati akan tenang" Surah Ar Raad: 28.
Kalau dilihat sekali imbas, mungkin kita dapat kita berpegang kepada maksud ini. tetapi ada pula ayat lain yang membawa maksud yang berlainan atau yang berlawanan seperti ayat yang di bawah:
"Orang Mukmin itu apabila disebut nama ALLAH, gementar hati-hati mereka." Surah Al Anfaal: 2.
Nampaknya seolah kedua-dua ayat ini bertentangan dan berlawanan maksudnya. Bagaimana pula hati orang berzikir yang gementar boleh rasa tenang atau hatinya yang tenang boleh rasa gementar pada waktu yang sama. "Gementar" dan "tenang" adalah 2 perasaan yang berlawanan dan berbeza.
Kalau begitu apakah yang sebenarnya yang patut dirasakan oleh hati apabila kita berzikir atau mengingati ALLAH? Patut tenang atau patut gementar? Disebabkan ada ayat yang mengatakan hati patut tenang dan ada pula ayat yang mengatakan hati patut gementar, maka kita sepatutnya merasakan kedua-dua perasaan ini serentak. Kalau tidak, kita tidak selaras dengan kehendak Al Quran. Kalau rasa hati kita tidak selaras dengan kehendak Al Quran, nyata bahawa kita yang salah. Al Quran tidak pernah salah kerana Al Quran itu adalah Kalammullah.
Yang dikatakan tenang itu adalah berkaitan hubungan hati kita dengan dunia dan hal-hal bersifat keduniaan. Kalau kita berzikir dan mengingati Tuhan, pasti kita akan tenang dengan urusan dunia. Tidak ada apa di dunia ini yang sebegitu besar atau penting sehingga boleh menjejaskan ketenangan hati kita. Dunia ini kecil dan remeh; "little significance". Nikmatnya teramat kecil. Siksaannya juga kecil. Segala-galanya di dunia ini remeh dan kecil.
Tetapi dengan Allah, kita tidak boleh ambil ringan. Dengan Allah jiwa mesti sentiasa gementar dan bergelora. Orang yang beriman dan bertaqwa itu, hati mereka sentiasa bergelora mengingati Allah. Mereka kenal akan Allah. Justeru itu mereka rasa cinta dan takut pada Allah. Mereka rasa hebat dan gerun pada Allah. Mereka rasa sentiasa diawasi Allah. Semua perasaan ini sentiasa mencengkam hati mereka. Mereka sentiasa merasa Allah s.w.t sedang melihat mereka. Mereka rasa Allah mengetahui segala-galanya apa yang ada pada diri lahir mereka dan segala yang ada dalam hati mereka. Mereka merasai kekuasaan Allah. Bila Allah berkata: 'Jadi........maka jadilah' ; ('Kun Fa Yakuun'). Mereka yakin Allah s.w.t boleh matikan mereka bila-bila masa sahaja. Azab dan siksa Allah sangat pedih.
Begitulah sepatutnya rasa hati kita apabila berzikrullah. Ada tenang dan gementar. Tenang dengan dunia dan hal-hal dunia tetapi gementar mengingati Allah. Lagi kuat gementar dan bergeloranya hati seseorang mengingati Allah, maka lagi tenang hatinya dengan dunia. Tenang dengan dunia itu adalah rahmat dari Allah. Gementar mengingati Allah itu juga rahmat. Kedua-dua itu ada kemanisannya.
Sebaliknya gementar mengingati dunia itu adalah azab. Kita merasa takut tidak kesampaian cita-cita dan tidak dapat memenuhi tahap kepuasan kehidupan di dunia. Kita rasa gementar dan gelisah kerana status-quo (status ekonomi dan kuasa) kita tidak sehebat rakan-rakan yang lain. Itu tandanya kita diperhambakan oleh dunia. Kita mementingkan keduniaan dan tidak bersyukur di atas rezki yang Allah kurniakan. Kita tergolong manusia yang tamak dan takbur...
Jika kita sentiasa tenang (rilex) apabila mengingati Allah, itu juga suatu azab. Itu tandanya kita sudah hilang sifat perhambaan kita dengan Allah. Kedua-duanya akan membawa kecelakaan kepada kita di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat.
Antara zikirullah yang boleh diamalkan ialah selepas solat fardhu dan sebelum tidur :
1-La ilaa ha illallah
2-Subhanallahi wabihamdihi
3-Astarghfirullah al-‘azim
4-Alhamdulillah / Bismillahirrahmaanirrahim
5-Membaca surah Al-Fatihah secara berulang-ulang
6-Membaca surah Al-ikhlas (Qulhuallahu Ahad) secara berulang-ulang dll. Sila rujuk buku-buku panduan zikir utk maklumat lanjut.
Zikirullah sewaktu memandu atau membuat kerja-kerja harian:
1-Asma ul-husna seperti Allah; Ar- Rahmaan; Ar-Rahiim; Al-Maliik; Al-Hayyu dll dari 99 nama-nama Allah s.w.t.
2-Allahu Akbar dll zikir yang mudah / ringkas.
Bagi mereka yang sentiasa mengamalkan zikir, mereka mampu membuat kerja-kerja harian, bercakap dan melakukan apa saja aktiviti dengan hati mereka sentiasa berzikir kepada Allah! Mereka mempunyai kekuatan mengawal akal dan hati agar tidak lalai dan boleh berzikir tanpa ucapan pada lidah bila keadaan memerlukan. Alangkah manisnya iman... Umpama kita menyelam sambil berenang dan melihat keindahan di dasar laut sambil menyalin nota untuk kajian ilmiah..Menakjubkan, tetapi teramat mudah jika ia menjadi suatu kebiasaan dan amalan harian!
Sesungguhnya, apabila kita menjiwai zikir yang diucapkan, kita akan merasai kekuatan iman semakin teguh dalam diri kita, kita akan semakin menjauhi perkara-perkara mungkar / maksiat, kasih dan cinta pada Allah s.w.t, serta sentiasa berusaha mencari keredhaanNya dalam setiap apa yang kita lafazkan dan lakukan... Kita akan sentiasa bersedia dan lebih tabah menghadapi dugaan hidup. Tidak akan ada perasaaan takut dan resah pada kita dalam mengharungi kehidupan dunia. Sebaliknya kita akan sentiasa cuba memperbaiki tahap amalan kita terhadap Allah s.w.t kerana bimbang keimanan kita TIDAK mencukupi untuk menampung kehidupan kita di akhirat, takut andainya kita tidak mampu menangkis azab kubur dan api neraka dengan amalan kita yang sedikit. Subhanallah.. Semoga kita dapat melatih hati dan lidah kita agar sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t. Semoga di saat akhir hayat kita menjelang kedatangan sakaratul maut, hati dan lidah kita akan mengucapkan zikir-zikir Allah dengan lancer serta tidak terpedaya oleh hasutan serta helah syaitan yang direjam. Wassalam.
Komen Tentang Blog Ini:
*The tale 0f you and I*
you gave walking sticks to others
yet you yourself were limping
you offered a lending hand
but it was you who needed help
you wore shields and armours
but it wasnt the outside that needed protection
you claimed others as foes and threats
yet you stabbed your very own heart
you blamed the time for being envious
was it not you who made the clock?
you walked the road with glitters and jewels
but back in home you slept on dirt
you conquered the lands and the oceans and skies
yet you moaned and screamed in dreams
you were the king of glorious men
but you were held captive of unseen strings
you claimed yourself a proud free man
yet you were chained to your old ventriloquist>
"By the power of Truth...."
Post a Comment