AL-FATIHAH
**************************************************
The Art works Of Sarawak's Natives
All these handmade handbags, purse, containers, sword and cellular phone cases, are made of high quality beads which are imported from overseas.
Saturday, November 28, 2009 | 0 Comments
Nak Raya ke..?.
Dalam keghairahan umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha, tentunya pelbagai persiapan diadakan untuk melengkapi sambutan hari yang mulia ini.. Paling utama menempah bahagian 'korban' sendiri atau ahli keluarga, bagi yang mampu. Di pagi hari raya pula, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha, mereka akan ke tempat penyembelihan korban untuk melafaz niat dan seterusnya mengambil daging korban masing-masing untuk diagihkan kepada yang memerlukan, jika tidak diurus oleh badan-badan berkaitan.
Kebanyakan suri rumah setidak-tidaknya akan menyediakan sedikit juadah untuk santapan di hari raya, meskipun tidak semeriah Aidilfitri. Bagi yang merantau, terutama dari Pantai Timur Semenanjung, mereka akan pulang ke kampung sehari dua sebelum tibanya hari raya, kerana Hari Raya Haji ini masih meriah disambut, terutama di Kelantan dan Terengganu.
Berbalik kepada cerita hari raya, ummi sebenarnya sedih bila beraya tanpa suami tercinta di sisi. Namun begitu, demi anak-anak ummi gagahi juga menyediakan sedikit juadah untuk hidangan keluarga kecil ummi di hari raya. Ummi akan beraya dengan abang sahaja di rumah. Abang sedang dalam perjalanan kembali dari kampus dengan menaiki bas jam 9:00 malam dan dijangka tiba di rumah pada jam 11:00 malam. Adik sedang menghadapi peperiksaan SPMnya dan tidak dapat pulang beraya kerana pada hari Isnin nanti, adik akan menduduki peperiksaan Kertas Biologi, diikuti Kertas Fizik dan Kimia yang hanya akan berakhir pada 8hb Nov 2009 (Semoga Allah memberkati dan membantu adik supaya cemerlang dalam peperiksaannya). Ummi yang tidak membenarkan adik pulang, demi mengurangkan masanya terbuang di perjalanan. Ummi merancang untuk melawat adik bersama abang sebaik selepas menunaikan solat Aidiladha.
Belakang dan kaki ummi mula terasa sakit kerana berdiri terlalu lama menyiang dan membersihkan daging untuk dibuat Rendang Tok, sambil merebus nasi himpit yang menjadi hidangan 'wajib' kami pada setiap kali hari raya tiba.. Hati ummi sebagai seorang ibu diruntun perasaan tidak seronok pula jika menghidangkan sejenis juadah sahaja untuk anak-anak, sedangkan kalau babah ada di sisi, kepelbagaian itu 'wajib' walaupun dalam jumlah yang sederhana dan secukupnya sahaja untuk keluarga kami. Dalam berkira-kira untuk menyeronokkan hati anak-anak, ummi pun masaklah pulut kuning sebagai tambahan. Kali ini ummi menjimatkan tenaga (kerana kesihatan yang tidak mengizinkan), ummi hanya masak dengan menggunakan periuk elektrik sahaja, cuma ditambah minyak sapi (sebagai menggantikan santan jika dimasak secara kukusan). Cukuplah sekadar 'mengadakan' daripada tiada! Begitupun rasanya masih kekal, walaupun rupanya tidak seindah rasa..,akan bertambah enak bila ummi hidangkan bersama serunding kelak.. alkisah..!
Ummi sendiri sudah berkali-kali marching dari dapur hingga ruang tamu, melayan perasaan resah menunggu anak sulung yang tidak kunjung tiba. Berpuluh kali sudah ummi menelefon abang namun masih tidak dapat dihubungi...! Alhamdulillah adik pula sedang mengulangkaji pelajaran sewaktu ummi menelefonnya tadi. Semoga abang diberkati dan dilindungi Allah serta selamat di perjalanan. Semoga babah juga di berkati dan dilindungi Allah dari segala mara bahaya... Sayu hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Dalam keadaan begini ummi perlu berbuat sesuatu supaya fikiran tidak berkecamuk. Tiba-tiba hati teringatkan sembang cyber dengan Hasue, anak jati Sarawak yang mahir dalam pembikinan Kek Lapis Sarawak.. Blogger Kak ina kl pun pernah menyarankan ummi mencuba jari jemari ni untuk melapis kek Bumi Kenyalang ni. Alahai.... teringin, tapi... terdaya ke ummi, dalam keadaan belakang dan kaki yang semakin sakit rasanya ni...
Ish... tak boleh jadi...! Dengan lafaz Bismillah...
Ummi pun membulatkan tekad (sebulat bola yang disepak pemain2 Kelantan dan N9 baru2 ni... (sensitif..!) Ummi mengeluarkan peralatan dan apa-apa bahan mengikut sekadar apa yang ada dalam stok di rumah... Lalu bermulalah episod pertama melapis Kek Sarawak di dapur rumah ummi yang sunyi sepi ni, sambil menunggu kepulangan anak sulung ummi. Okayy......
Light!
puan-puan yang dihormati.. Resepi kita hari ini ialah
KLS iaitu Kek Lapis Dwi Berry....
Seperti yang kita ketahui, asas dalam pembuatan
KLS adalah.. blablabla...
Bahan2nya, yaa puan2... blablabla...
Cara membuatnya adalah seperti berikut..."
1- Langkah pertama.. Mari2 mewarna dan melapis.
Komen penonton..
bawah selama 10 minit ya... Lapisan ke 2 kita
bakar dengan api atas
sahaja...
garisan menyerong ya... Tapi jari saya terseliuh kerana mencanai roti di malam raya, kita hentam saja ya..
Bakar lagi dan ulangi sehingga beberapa
lapis lagi.
" Comotnya..!"
Ini penonton yang cakaap daa..!
pada permukaan lapisan terakhir...
Berbagai corak boleh dilukiskan. Nak lukis gambar
Mikel Jeksen pun bolehh...
(Eh! Lari dari skrip la plak..!)
selama 15 minit..
Raya tahun depan la pulak..
**Kenapa permukaan atasnya cerah? : Ummi memandai-mandai (wpn tak pandai..) bubuh keju cheddar
di bawah lapisan teratas!
Sedap sangat..Lembut berkrim..!
**Ni ummi tambah semasa 'Take 5'. Pengarah pi
pekena Rendang Tok ummi dengan kopi O...
"Addaa kaa..? Dia pi padam lampu kamera smuaa..
Gelap la weyh... Anak ummi nak masuk rumah
camana niiih..?"
Selepas beberapa ketika...
"Yaa puan-puan... Kita boleh juga panggil Kek Lapis Kelantan lah ya, sebab
ada batik dan lapisannya tak senipis Lapis Sarawak...? Bolleh gituu? Ahaw..! "
Hasue dah mula kerut kening..! Ok2...Lapis Sarawak amatur, hehe...
Jangan marah dik!and CUT!!!
Dan untuk makluman, anak ummi sampai rumah pukul 2:30 pagi!!
Esoknya kami beraya di MRSM bersama adik dan kawan2nya yang senasib (Tak balik kampung laa...).
pilu tanpa babah di sisi...
~SELAMAT HARI RAYA BABAH !!!~
~We Love U sooo Much...!~
Updates on Feb 27, 2010...
Semasa nak balik kampung pada Jan 20 2010, ummi sempat buat kek Sarawak versi sendiri (kira resepi sendiri la ni).... Lepas termenung mengingatkan mak yang sakit di kampung, ummi pun mendapat idea untuk mencampurkan bijirin nestum segera (untuk kesihatan mak), cebisan kulit limau serta esen limau dan kepingan choklat Cadbury (untuk membangkitkan selera mak)..! Selain dari bahan2 ini, seperti biasalah, bahan2 kek Sarawak yang ummi masukkan termasuk telur, tepung superfine, mentega Golden Churn, perisa dan jem strawberry, perisa dan jem pandan, gula dan esen vanila...
ummi Si adik yang bercuti panjang menunggu keputusan SPMnya...
Ini pula kek Blueberry cheese yang ummi buat untuk Birthday Adik pada Dec 21 2009... Kira tayangan larut malam la ni... Al-maklumlah, orang tengah ghairah mencuba resepi kek.. Asal ada special date jer, mesti nak buat kek... Jadi tak jadi lain cerita la kan... Jangan bandingkan dengan orang yang pro, malu la... Apa pun... sekurang2nya ummi dapatlah jugak bagi anak2 dan suami makan kek hasil sendiri, walaupun ........ COMOT! Hehehe....
Saturday, November 28, 2009 | 2 Comments
ISLAM DAN KESEDERHANAAN: Penyucian jiwa
Hakikatnya, mencari keseimbangan dan kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan adalah sesuatu yang amat sukar. Desakan hawa nafsu dalam diri manusia selalu mengatasi kewarasan dan kebenaran akal fikiran kita. Ia hanya dapat dibendung dan di atasi dengan penguasaan iman dan lmu pengetahuan..!
Sering kita perhatikan berlaku begitu banyak sifat keterlaluan dan melampau. Sewaktu mengambil wuduk misalnya... ramai di kalangan kita yang bersuci dengan menggunakan air dalam jumlah yang banyak sehingga berlakunya pembaziran, baik di rumah, mahupun di surau atau masjid-masjid. Sedangkan dalam agama Islam cukup sekadar melalukan air ke atas anggota badan yang disucikan, malah ianya sah jika hanya menggunakan debu sekalipun.!
Ada pula golongan yang bersifat tidak yakin (waswas) dengan mengambil wuduk berkali-kali malah berbelas-belas kali.. Begitu juga, terdapat mereka yang mengangkat takbir dan berniat solat berkali-kali kerana mengimpikan kesempurnaan di dalam ibadatnya. Sedangkan mereka sebenarnya telah terjebak ke dalam sifat orang-orang yang keterlaluan.
Sewaktu ketiadaan peralatan seperti senapang dan panah untuk berburu, Islam telah membenarkan anjing sebagai 'alat perantara' untuk berburu. Walaupun Islam mengharamkan daging anjing dimakan oleh umatnya, serta haram menyentuhnya di kala ia berpeluh atau basah, tetapi Allah s.w.t telah membolehkan kecekapan anjing digunakan untuk memburu haiwan lain untuk dimakan dagingnya oleh tuannya yang beragama Islam, asalkan sewaktu anjing tersebut dilepaskan untuk menggiggit mangsanya, tuannya hendaklah berniat dengan niat untuk berburu dan mewakilkan dirinya ke atas anjing tersebut dengan lafaz Bismillah... Sebaik mendapat hasil buruan anjingnya, seseorang itu haruslah dengan segera menyembelih haiwan buruan tersebut. Ia boleh dimakan dengan syarat bahagian yang terkena gigitan anjing tersebut dibuang (tidak boleh dimakan). Sebegitu sederhananya agama Islam, sehingga ia tidak pernah mnyulitkan kehidupan umatnya, asalkan sahaja setiap sesuatu itu dilakukan mengikut garis panduan (iaitu tidak bercanggah dari hukum yang dinyatakan) yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis.
Pada waktu-waktu darurat yang boleh membawa kepada kemudaratan seperti kematian, umat Islam diharuskan memakan makanan yang diharamkan pada waktu aman(lazim). Sebagai contoh, jika didapati seseorang itu hanya boleh disembuhkan penyakitnya dengan memakan daging babi (dengan syarat tidak ada ubat lain selainnya), maka diharuskan ke atasnya memakan daging babi tersebut (tidak berdosa), dengan syarat ia hanya dimakan mengikut kadar yang boleh menyembuhkan penyakitnya sahaja. Jika dimakan berlebihan dari keperluan untuk menyembuhkan penyakit, maka hukumnya adalah berdosa. Jika ada kaedah atau ubat lain yang diketahui kemudiannya, maka dia perlu dengan serta merta berhenti dari memakan daging babi tersebut dan bertukar kepada perubatan baru.
Dari segi berpakaian, kesederhanaan yang digariskan dalam Islam sudah terlalu banyak diabaikan. TIDAK PERLU kita bercerita di sini mengenai pakaian yang mendedahkan aurat dan menjolok mata, kerana ia sudah jelas terkeluar dan tersasar dari aqidah islam dan hukum yang ditetapkan. Pakaian yang boleh dipersoalkan adalah seperti pakaian yang menutup aurat tetapi terlalu mewah dari segi harganya sehingga mendatangkan pembaziran kewangan sesorang individu. Begitu juga dengan jumlah pakaian yang begitu banyak dimiliki oleh seseorang Islam pada sesuatu masa. Ia jelas terkeluar dari kesederhanaan yang diamalkan oleh agama Islam...
Islam menggalakkan pemakaian penutup muka 'hijab' bagi seseorang perempuan yang terlalu cantik kerana jika dia membuka hijabnya dikhuatiri golongan lelaki akan tergoda kepadanya. Bagi wanita yang kecantikannya tidak memudaratkan orang yang melihatnya, maka wajahnya bukanlah aurat baginya. Sedangkan sewaktu bersolat pun kita dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat kecuali tangan dan muka..!
Namun apa yang menghairankan pula, di sebalik kemudahan yang diberikan oleh Islam kepada wanita-wanita berparas biasa ini, kita berlumba-lumba menghiasi wajah dengan bersolek untuk menarik pandangan umum yang sudah tentu bukannya muhrim kita... Kita lupa bahawa sebagai wanita wajah yang cantik adalah aurat dan sebaik-baiknya kita tidak menyulitkan diri sendiri dan membazirkan masa dan wang untuk membeli peralatan solek (make-up) yang berbagai. Adalah wajar, malah dituntut dalam Islam agar kita menjaga kecantikan wajah, bahkan keseluruhan diri kita agar sentiasa sihat, kemas dan cergas. Kita juga digalakkan bersolek, tetapi hanya untuk suami sahaja, supaya kebahagiaan dan kemesraan di dalam hubungan suami isteri sentiasa segar dan terpelihara.
Kebanyakan kaum lelaki amat bangga memakai baju batik dari kain sutera dengan berbagai corak dan fesyen. Sedangkan pada masa yang sama mereka perlu menunaikan solat fardhu... Adakah kita lupa atau sengaja melupakan bahawa sutera itu diharamkan ke atas kaum lelaki? Adakah kita 'terlupa' bahawa memakai pakaian yang haram hukumnya menyebabkan ibadat kita ditolak oleh Allah s.w.t..? Dari sini timbul pula persaingan atau perlumbaan di antara isteri dan suami untuk mendapatkan pakaian yang berjenama dan mahal harganya. Hilang sudah kesederhanaan yang ditekankan oleh agama Islam kepada umatnya... Yang timbul hanyalah persaingan sesama sendiri dalam perkara-perkara yang remeh-temeh.
Islam menggalakkan kita bersederhana dalam segala perkara. Namun kehidupan masyarakat kompleks hari ini menuntut berbagai perkara yang di luar dari kemampuan individu untuk turut menyibukkan diri menyertainya.. Ramai, malah terlalu ramai pasangan dan keluarga pengantin mengadakan jamuan majlis perkahwinan dan resepsi secara besar-besaran, yang amat meriah dan menelan belanja yang begitu besar... Ianya menjadi manis dan tidak salah dari segi adat ( tetapi tetap membazir dari segi agama), jika kita benar-benar berkemampuan dan tidak menyusahkan diri orang lain, dan diri sendiri. Yang menghairankan, ada di kalangan kita yang sanggup bergolok bergadai, membuat pinjaman peribadi dari orang-orang perseorangan malah ramai yang berhutang (membuat pinjaman) dengan bank (malah ada yang berhutang dengan along!) semata-mata mahu meraikan majlis pertunangan atau perkahwinan mereka dengan besar-besaran, demi mengikut arus semasa!
Alangkah sedihnya fenomena ini jika dilihat dari sudut agama dan ukuran akhlak serta etika seseorang. Mengapalah kita perlu bersifat keterlaluan sehingga sanggup berhutang sekeliling pinggang? Apa yang dikesalkan ialah, hatta anak sudah berderet pun, hutang perkahwinan belum dapat dilangsaikan. Sedangkan Islam hanya mewajibkan IJAB dan KABUL..! Kenduri doa selamat cuma mengikut sekadar yang termampu sahaja. Apa yang perlu diutamakan adalah bagaimana untuk menyara dan merancang perjalanan kehidupan sebuah keluarga yang baru terbina tersebut di atas keredhaan agama dan memupuk serta mengekalkan kebahagiaan berumahtangga, supaya generasi yang lahir darinya mempunyai nilai-nilai murni yang boleh menegakkan keagungan Islam, maruah keluarga, bangsa dan negara.
Janganlah kita bersusah payah menyulitkan kehidupan kita sendiri, sedangkan peraturan hukum agama Islam itu amat senang dan memudahkan umatnya. Sayangnya dalam kehidupan sekarang, kita telah jauh terpesong dan seolah menjadi 'terbiasa' bagi kita menongkah arus hukum Islam dan kesederhanaan yang dibawanya. Akhirnya ia membawa kepada kejatuhan akhlak dan peradaban ummah!
Pada bulan puasa, kita dapat melihat dengan jelas kebanyakan dari masyarakat hari ini menjadikan waktu berbuka puasa sebagai Pesta Makan, bukan nya mengambil iktibar dan pengajaran dari ibadah puasa yang mengingini umatnya merasai lapar dan dahaga sebagai memperingati golongan yang tidah bernasib baik dan tidak berkemampuan yang terpaksa berlapar dan dahaga. Bahkan kita sering tertidur dalam kekenyangan yang melampau. Malah untuk bersegera menunaikan solat Maghrib pun kita tidak mampu bangun dari kerusi kerana kekenyangan. Jika diperhatikan, surau dan masjid begitu penuh pada minggu pertama bulan Ramadhan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan hanya pada 3 malam pertama sahaja. Selepas itu kita semakin malas berjemaah dan menunaikan solat sunat Terawih. Adakah kerana kita kepenatan, atau kerana kita terlampau kekenyangan dan malas bergerak..? Apapun, setiap dari kita mempunyai alasan tersendiri...
Ada sesuatu yang tidak kurang menariknya yang menjadi 'trending' pada masa kini. Kebanyakan dari kita yang berkemampuan adalah dituntut supaya mengerjakan Haji iaitu rukun ke lima dalam agama Islam. Ramai dari kalangan kita yang berkemampuan telahpun sampai ke Tanah Suci Makkah... Mereka menunaikan umrah sama ada bersendirian mahu pun bersama isteri dan keluarga. Jika ditanya adakah mereka telah meyempurnakan Haji sebelum ini...? Anehnya mereka belum menunaikannya. Kebanyakan generasi muda kini yang berkemampuan, lebih gemar menunaikan umrah terlebih dahulu kemudian baru diikuti ibadah Haji pada tahun terkemudian (itupun jika umurnya panjang dan masih berkemampuan dari segi harta dan tenaga). Mereka mendahulukan ibadah sunat melebihi dari ibadah yang wajib..!
Wahai sahabat, teman dan saudara...
Marilah kita menginsafi diri dan menyoroti kembali liku-liku perjalanan yang telah kita lalui. Mari kita susur kembali ke pangkal jalan di mana kita telah bermula. Mudah-mudahan kita menemukan kebenaran di sebalik segala kesesatan dan keterlaluan sifat dan sikap kita selama ini. Tidak salah untuk kita bermula kembali, daripada langsung tidak menyedari atau menginsafi... Sama-samalah kita mengenal diri, mencari keyakinan dari perkara yang menjadi ajaran asas dalam Islam, iaitu RUKUN ISLAM YANG LIMA...
1-Mengucap dua kalimah syahadah
Mengucap 2 kalimah syahadah merupakan pengakuan lisan kepada hakikat keimanan dan kepercayaan akan kewujudan Allah s.w.t. dan keEsaannya. Apabila seseorang itu melafazkan syahadah dengan penuh keyakinan, dari saat itu segala amalan baiknya akan diterima dan kita wajib bersisikap jujur kepada Allah dan mengikut panduan yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, agar mengikuti jalan Islam yang lurus dan sempurna.
2-Mendirikan Solat Fardhu
Solat mencegah kita dari melakukan kemungkaran. Bersolat 5 kali sehari semalam akan menjadikan kita sentiasa menginsafi diri sebagai hamba Allah Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Ia bersifat sebagai penyucian diri dan hati serta mengawal diri kita dari terjerumus ke lembah kehinaan dari pujukan hawa nafsu dan syaitan.
3-Menunaikan Puasa di bulan Ramadhan
Puasa yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keyakinan mempunyai kesan yang amat mendalam dalam membentuk peribadi dan akhlak kita yang terpuji dan unggul. Ia menjadi perisai keimanan yang memberikan ketenangan dan sifat menginsafi diri. Kesempurnaan ibadah puasa yang di sulami dengan amalan bacaan Al-Quran dan berzikir mendorong kita ke arah mengerjakan amal kebajikan.
4-Menunaikan Zakat
Zakat juga merupakan ibadah yang dapat menyucikan jiwa seseorang insan. Zakat hanya diterima dari sumber usaha yang halal dan di berikan kepada golongan yang benar-benar berhak serta memerlukan. Pengorbanan yang dilakukan dengan mengeluarkan zakat untuk membantu sesama ummah menjadikan kita semakin kukuh dari segi pegangan agama dan akhlak yang mulia. Zakat yang dikeluarkan akan mengeratkan hubungan sesama ummah dan akan merepatkan jurang perbezaan ekonomi ummah.
5-Menunaikan ibadah Haji
Ibadah Haji menggabungkan berbagai aspek iaitu membelanjakan harta di jalan agama, tuntutan ibadah fizikal, keikhlasan dan kesanggupan menanggung kesusahan. Haji mengingatkan manusia kepada persamaan taraf manusia disisi Allah Yang Maha Pencipta, melalui pakaian yang dipakai. Ukuran tingginya darjat seseorang disisi Allah adalah tahap keimanan dan ketaqwaan masing-masing, bukannya terletak pada perbezaan harta, pangkat atau rupa.
Jika kita terus berpegang kepada Rukun Islam yang lima ini, berserta dengan keyakinan dan keikhlasan amalan kita kepada Allah s.w.t, sejauh mana pun perjalanan yang kita perlu lalui dan sesukar mana pun cabaran yang kita perlu hadapi, insyaAllah, hati, jiwa dan fizikal kita akan sentiasa mentauhidkan Allah s.w.t. Kita tidak akan jauh terpesong dan terkeliru... Semoga kita semua diberkati Allah s.w.t. serta tergolong dalam hambaNya yang diampuni... InsyaAllah..
P/S:
Salam Aiduladha kepada semua saudara Islam....
Semoga dirahmati dan diberkati Allah s.w.t..
Thursday, November 26, 2009 | 0 Comments
ATM...Oh, ATM...!
Assalamu'alaikum..........
Di pagi hari Jumaat ni terasa mood macam nak menulis surat pulak, tapi surat ni pasti tak dapat layanan segera punya... OK.... Ummi tulis sebuah kisah pendeklah ya...
Kisahnya bermula ketika anak ummi nak mengeluarkan duit dari mesin ATM Bank Islam di UIA cawangan PJ, sehari sebelum Hari Raya Haji ari tu... Tiba-tiba pulaklah mesin tu buat hal, jumlah pengeluaran yang tertulis pada resit dari mesin ATM tu memang betul ($50.00- maklumlah student mana ada duit nak keluarkan banyak-banyak, kan..?), tetapi, selepas 'ditunggu punya tunggu', anak ummi yang seorang ni naik hairanlah, mengapa tak keluar keluar lagi duit dari ATM tuu..? Dengan perasaan hampa,kecewa dan 'angin' lah, (selepas menepuk-nepuk mesin tu 2,3 kali, kalau-kalau duitnya nak keluar...) anak ummi pun terpaksalah menapak keluar UIA dan menggunakan mesin ATM yang lain untuk mengeluarkan wang untuk perbelanjaan membeli tiket bas balik ke rumah...penyata transaksi menunjukkan $50.00 sudahpun ditolak dari jumlah akaun tidak termasuk jumlah yang baru dikeluarkannya......alkisahlah.
3 hari yang lalu ummi berada di hadapan sebuah mesin ATM Am Bank di Jaya Jusco Melaka, kerana nak mengeluarkan duitlah, untuk berbelanja di situ. Berkebetulan pada masa yang sama ada seorang wanita dalam keadaan yang amat resah di tepi mesin ATM tersebut memandang-mandang ke arah ummi sambil bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbitnya. Setelah 'menangkap' beberapa patah perkataan dari perbualan beliau, ummi pun mengundurkan diri dari mesin ATM tersebut...! Aduhai.., rupa-rupanya mesin tu buat hal juga... Cik kak kita ni mengeluarkan wang berjumlah $200.00 dari akaunnya melalui ATM Am Bank tersebut, tetapi yang keluar hanyalah resit yang tercatit baki akaun yang telah ditolak $200.00 tetapi wangnya tidak muncul-muncul..! "Tak dapeklah den nak nolong....", bisik hati ummi...
Setelah seorang remaja berjaya mengeluarkan wang dari mesin ATM yang sama, ummi mencuba nasib dengan mengeluarkan sebanyak $100.00 'sebagai bahan ujian' (macam saintis la pulak..) apa-apa hal taklah terbeban sangat jika mesin tu 'kapur' wang tersebut. Bismillahirrahmaanirrahiim..........dan, Alhamdulillah, dapat pulak duit tu keluar. Cik Kak tadi menghampiri ummi bertanya berapakah jumlah wang yang keluar dari mesin ATM tersebut? Dengan perasaan kurang selesa tetapi kerana memahami situasi yang dihadapi oleh beliau, ummi menjelaskan ummi hanya mengeluarkan $100.00 sahaja dan itulahjumlah yang keluar dari mesin tersebut. Cik Kak tersebut beriya-iya lagi bertanya adakah betul itu duit ummi atau duit beliau, kerana beliau curiga kalau-kalau duitnya lambat keluar dari mesin ATM dan keluar sewaktu ummi mengadap mesin tersebut, aduhai...! "Ada muka pencuri ke aku ni..?" sekali lagi hati ummi berbisik geram...tetapi tetap mengasihani cik kak kita tu..
Moral dari kedua kisah di atas adalah, berhati-hati semasa mengeluarkan wang dari mana-mana mesin ATM. Mulakan dengan jumlah yang sedikit dahulu yang termampu ditanggung sekiranya wang tersebut tidak keluar (Bunyinya macam nak main saham jer... "modal/kerugian yang termampu ditanggung..."). Sentiasalah menekan butang atau panel 'memerlukan resit urusniaga' sewaktu berurusan dengan mesin ATM. Langkah-langkah di atas adalah sebagai persediaan sekiranya wang kita 'dikapur' atau 'ditelan' oleh gergasi ATM ni, kita dapat melapurkan segera kepada pihak bank bagi mendapatkan penjelasan dan jika bernasib baik kita akan mendapat balik wang yang 'ditelan' sewaktu transaksi tersebut. Sekiranya berlaku perkara seperti di atas, segeralah membuat lapuran kepada bank di mana kita membuka akaun dengannya,dan ikuti nasihat atau tindakan lanjut yang disarankan oleh pihak bank. Pada setiap mesin Atm terdapat talian khidmat pelanggan (jika berfungsi) untuk kita hubungi sekiranya berlaku permasaalahan yang berkaitan dengan mesin tersebut.
Meskipun demikian, secara perbadi ummi berpendapat, pihak bank terbabit (tuan punyer mesin ATM ler..!!!) perlu, malah amat perlu melakukan penyelenggaraan sekerap mungkin terhadap mesin-mesin ATM mereka, terutama di kawasan yang melibatkan jumlah transaksi yang tinggi, memandangkan setiap transaksi yang dilakukan bukanlah diberi secara percuma, terutama jika akaun pengeluar tidak sama dengan bank induk mesin ATM tersebut, di mana 'minimum charges' yang dikenakan bagi setiap transaksi adalah di antara $1.00(bagi bank-bank tempatan seperti Mayban, Bank Islam, Ambank dll) hingga $4.00(bagi bank-bank luar negara contohnya Al-Raghi).
Kejadian seumpama ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja. Bayangkan kesusahan yang timbul dan terpaksa dihadapi oleh pelanggan yang mengalami situasi seperti di atas. Apa akan terjadi sekiranya wang yang dikeluarkan tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan pembayaran tertentu dalam waktu yang begitu suntuk (pembayaran bil-bil hospital swasta -untuk membayar kos terbabit bagi menuntut jenazah umpamanya, untuk membeli kelengkapan jenazah, untuk membayar tiket penerbangan, malah berbagai lagi).
Jangkamasa seminggu terjadinya 2 kes rawak yang berlaku pada keluarga ummi dan di hadapan ummi adalah sesuatu yang amat tidak patut dalam sistem perbankan di tanah air. Berapa banyakkah kes-kes serupa berlaku di luar sana yang tidak melibatkan diri atau keluarga kita? Tanggungjawab pihak bank sebagai pihak yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan amatlah perlu dilaksanakan secara menyeluruh di mana pemeriksaan dan penyelenggaraan mesin-mesin ATM secara berkala dan kerap patut dilakukan secara lebih efisyen. Semoga luahan rasa pelanggan diambil peduli oleh pihak yang berkaitan dan tidak hanya mementingkan nilai dan keuntungan komersial semata-mata, tanpa kualiti yang sepatutnya.
Wassalammmm..........
Tuesday, November 17, 2009 | 0 Comments
Yang Dinantikan Telah Tiba...
Tanggal 31hb Oktober 2009, merupakan hari bersejarah kerana berlangsungnya majlis restu dan Graduasi bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 di Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghaffar Baba di Jasin Melaka. Pada malam hari sebelumnya (30hb Okt), ummi dan babah bergegas pulang dari Miri Sarawak, untuk menghadiri majlis bersejarah 'adik', anak ummi dan babah serta rakan-rakan seperjuangannya. Dalam perjalanan ke Melaka ummi dan babah singgah ke Banting untuk bertemu Mak Nong yang akan ke Tanah Suci Mekah pada keesokan harinya.
Selesai solat hajat, ummi tercari-cari di mana pula adik berada...? Sedangkan sebelumnya sudah beberapa kali adik 'sms' ke 'handphone' ummi dan babah, bertanyakan lokasi kami. Ish.. Rindunya hati ummi pada adik Allah s.w.t sahaja yang tahu.. Semasa di Sarawak sudah acap kali pipi ummi basah kerana merindui adik dan abang..! Bukan tidak pernah berpisah, malah dari tingkatan 1 hinggalah adik di tingkatan 5 sekarang dan abang pun sudah berada di universiti, kita sudah terbiasa dengan perpisahan demi perpisahan kerana kedua-dua abang dan adik belajar di sekolah berasrama. Tapi... entahlah, mungkin begitu sifatnya hati seorang ibu, kala rindu terhadap anak-anak mengasak jiwa, air mata begitu cepat mengalir...
"Ummi.....!" Ops, suara adik menerpa ke telinga..! Pantas mata ummi mencari dan... nah! Itu dia anak ummi dengan berbaju Melayu ungu, siap bersongkok dan bersampin songket, segak sungguh pada pandangan ummi. Ummi melepaskan rindu pada adik.. Lama jugak ummi memeluk adik, sehinggakan ibu-bapa dan rakan-rakan pelajar yang lain memandang kami kehairanan. Biarkan, mereka tidak mengerti apa yang ummi rasa. Rindu ummi pada adik seluas lautan. Cuma ummi perasan badan adik agak susut dan muka adik agak cengkung... ditumbuhi sebaris kumis jarang dan sejemput janggut liar... Patutlah sewaktu mula bertemu adik, ummi terperasan seolah adik begitu tinggi, rupanya adik agak kurus sehingga menonjolkan lagi ketinggian adik.
"Adik, mengapa kurus ni...? Tak cukup makan ke? Atau diet..?" Hati ummi mula risau andaikata wang saku adik tidak mencukupi untuk menampung selera adik yang semakin remaja dan terkenal dengan sifat sukakan aktiviti lasak.
Adik tergelak dan memegang erat tangan ummi, " Tak adalah... Adik cuma kurang makan dan tak cukup tidur sikit... Sekarang adik dan kawan-kawan terpaksa pulun study mi.. Exam dah terlalu dekat.. Adik kena study lebih la.."
"Malam adik stay up sampai pukul berapa?"
"Pukul 4, paling lewat pukul 5..." Jawab adik sambil mencium tangan dan memeluk babah yang baru sampai ke tempat kami.
"Nak ganti Nik Nur Madihah ke? Anyway... lewat sangat tu dik," sampuk babah setelah melepaskan pelukan adik.
"Terpaksalah bah, adik ada sikit lagi nak cover ni..."
"Hmm..... tu laa, babah dan ummi dah nasihatkan, belajar dari awal tahun, supaya tak perlu struggle macam ni..."
"InsyaAllah bah, ummi, doakan adik ok..?"
"Jangan risau, ummi dan babah memang selalu doakan adik. Cuma adik tuu... banyak sangat aktivitinya, patutnya dah naik form 5 ni, slow la sikit.." Ummi sengaja bagi adik 'peluru berkarat', namun adik hanya menjawab dengan senyuman.
Sementara menunggu upacara graduasi pada pukul 2:00 petang, babah mengajak adik menjamu selera di luar maktab, walaupun sebenarnya pihak maktab telahpun menyediakan makanan dan minuman untuk ibu bapa dan keluarga pelajar yang hadir pada majlis tersebut. Biarlah bahagian kami itu diambil oleh keluarga pelajar lain yang datang bersama anak-anak mereka.
Tiba-tiba adik mengajak ummi ke biliknya dahulu sebelum keluar makan ke pekan Jasin. Babah pula menjadi penunggu setia di dewan bersebelahan surau TGB.
"Buat apa ke bilik adik?"
"Alaa... jomlah sekejap, adik nak bagi ummi sesuatu!" Kata adik sambil senyum mengulum.
"Ish...apa pulak adik ni.." Ummi tertanya-tanya dalam hati sambil berjalan menuju ke bilik adik.
"Haa.. Inilah yang adik belikan kat ummi..., bagus untuk belakang ummi tu!" Kata adik sambil tangannya mengambil sesuatu dari dalam almarinya.
Adik membuka balutan plastik pada alat penyandar belakang yang boleh disarungkan kepada kerusi, lalu mencubanya ke belakang ummi. Alat ini berfungsi memberi sokongan kepada belakang (tulang belakang) supaya supaya membentuk 'posture' yang lebih selesa ketika duduk di kerusi.
"Adik.......!" Tiba-tiba ummi dapat merasakan kolam mata ummi mula berair...
"Ummi tak suka?" Tanya adik.
"Adik mintak tolong kawan adik belikan ni ummi, adik tengok dia gunakan waktu belajar, so adik teringat belakang ummi sakit and alat ni memang bagus untuk support lumbar ummi tu.. Ummi bawak balik rumah ya..?" Gesa adik.
"Dik, mengapa berhabis duit untuk ummi, duit poket adik bukan banyak sangat pun, cukup untuk makan minum adik je.. Tak perlu adik bazir duit untuk ummi dik..!" Ummi menahan sebak.
"Adik tahu ummi selalu sakit. Ummi selalu sorok dari adik... Adik tak mampu ubatkan ummi, tapi ummi gunakanlah alat ni, supaya belakang ummi tak sakit sangat sewaktu ummi duduk ya..? Then...ummi jangan angkat benda-benda berat kat rumah tu... Ummi jaga diri tau.." Adik memegang bahu ummi dan merenung mata ummi seolah meminta kepastian.
"ok dik, ok.. ummi janji .." Sekali lagi ummi memeluk erat adik. Begitu kasihnya hati adik terhadap ummi, walaupun adik terkenal dalam keluarga sebagai anak yang jarang menunjukkan kesedihan dan sentiasa cuba menunjukkan kekuatan dirinya sebagai anak lelaki. Hati ummi berdoa semoga Allah memberkati anak ummi ini, dalam setiap detik kehidupannya. Semoga Allah mengasihi adik di atas kasih sayang adik terhadap ummi, ibunya.
"Jom ummi, kita keluar makan, kesian babah dah lama menunggu kita..," gesa adik sambil menarik tangan ummi keluar menuju ke arah babah.
Pemberian adik ummi tunjukkan kepada babah. Babah tidak berkata apa-apa melainkan menggosok-gosok belakang adik...
"Adik nak makan apa..?" Tanya babah sebaik kami masuk ke kereta.
"KFC boleh, bah?
"Boleh..Tapi ini last ya, sehingga adik habis exam?" Babah bersetuju tetapi bersyarat. Memang babah selalu begitu. Namun semuanya untuk kebaikan adik juga. Kami tidak menggalakkan anak-anak banyak mengambil makanan segera kerana bahan perisanya terlalu tinggi dan tidak baik untuk perkembangan kesihatan.
Setiba di KFC memang ramai pelajar-pelajar TGB bersama ibu bapa mereka makan di situ. Kami makan dan adik turut membawa pulang 'tapau' KFCnya ke maktab.
Pukul 2:00 petang, semua ibu bapa berkumpul di dalam dewan diikuti perarakan masuk graduan, termasuk adik, diiringi paluan gamelan. Para graduan berpakaian jubah merah lengkap dengan topi graduasi mereka. Sungguh segak dan manis. Seorang kenamaan dari parti politik kerajaan dijemput untuk menyampaikan 'scroll'. Namun majlis graduasi terpaksa bermula sejam kemudian kerana kelewatan beliau yang terpaksa menghadiri mesyuarat penting. Turut menyampaikan 'scroll' pada hari itu adalah beberapa penjawat penting dari Majlis Amanah Rakyat dan Pengetua Maktab.
Memang meriah majlis graduasi adik dan rakan-rakannya. Ia telah menjadi tradisi bagi setiap MRSM di seluruh negara. Sewaktu adik belajar di MRSM Mersing (Johor) dahulu, adik juga telah menghadiri majlis graduasi untuk pelajar-pelajar tingkatan 3. Waktu itu ummi pernah mengusik adik, sebaik selesai kami bergambar kenangan di luar dewan.
"Dik..tengokkan graduasinya memang meriah dan seronok... Nanti masa keluar keputusan PMRnya agak-agak seronok jugak ke..?"
"Hehe..." Adik hanya tergelak panjang.
Namun, alhamdulillah, akhirnya adik berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A sehingga terpilih pula meneruskan pengajian di MRSM TGB ini bersama 80 orang rakan yang lain. Syukur padaMu ya Allah...
Hari ini majlis dan situasi yang sama berulang di sini, di TGB. Graduan-graduan tahun 5 ini dinobatkan sempena pencapaian mereka dalam peperiksaan Semester mengikut pencapaian merit tertentu. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak dapat graduasi kerana pencapaian di bawah syarat. Ummi hairan mengapa mereka tidak layak, sedangkan mereka yang dipilih belajar di sini kesemuanya memperolehi minimum 8A dalam PMR mereka. Mungkin mereka sakit atau ada alasan-alasan tertentu. Kita memang tidak dapat mengatasi takdir Allah. Bahkan, masih ada masa untuk mereka mengulangkaji dan berjuang bersungguh-sungguh untuk masa depan mereka. Ada 2 minggu lagi masa untuk mereka meneruskan ulangkaji...
"Ummi..!" Babah mematikan lamunan ummi.
"Sekarang giliran adik ke pentas! Cuba tengok di screen besar tu... Biodata adik laa.. Tengok, cita-citanya...Chiropractor! Setakat ini babah tengok di screen tu, hanya adik sahaja yang bercita-cita demikian.." Sambung babah sambil menunjuk ke arah 'screen TV' besar di kiri kanan pentas.
Terkesima juga ummi membaca biodata adik. Sehingga berakhirnya majlis graduasi itu, berbagai kerjaya yang hebat dipaparkan sebagai impian setiap pelajar. Hanya adik seorang sahaja yang bercita-cita menjadi kiropraktor (pakar sakit tulang). Ummi dapat rasakan ini semua berkait rapat dengan penyakit yang ummi deritai, iaitu 'slip disc' (sakit tulang belakang). Adik (dan abangnya) )pernah berkata mereka akan 'buat apa saja' asalkan ummi sembuh. Adik (dan abang) pernah mempelajari teknik urutan refleksologi kerana mahu membantu melegakan sakit belakang ummi. Memang mereka mahir dan banyak melegakan sakit ummi di waktu terdesak.
"Adik bercita-cita menjadi kiropraktor untuk mengubati ummi..!" Bisik hati ummi.
Ada gambar adik dipaparkan di 'screen' besar itu. Malah sebelum adik naik ke pentas pun pihak maktab menayangkan banyak aktiviti-aktiviti pelajarnya termasuk beberapa keping gambar adik sewaktu mewakili kelas dan maktab dalam projek-projek sains. Ada pelajar-pelajar TGB yang berjaya mewakili maktab dan negara ke peringkat antara bangsa serta terus ditawarkan belajar di beberapa universiti di Amerika Syarikat,pada tahun 2009 ini, sebelum mereka sempat menduduki peperiksaan SPM 2009 pun! Bertuahlah ibu bapa yang anaknya begitu 'bergeliga otaknya' dan tekun berusaha sehingga mendapat pencapaian sebegitu rupa.... Tahniah ummi ucapkan kepada mereka dan semoga mereka terus mencipta sejarah kejayaan demi agama, keluarga, bangsa dan negara.
Walaupun adik tidak secemerlang mereka, ummi tetap bersyukur dengan usaha adik mentelaah pelajaran bermula dari pertengahan tahun. Walaupun sudah berkali-kali ummi menggesa adik supaya memulakannya dari awal tahun lagi, jadual aktiviti adik memang penuh. Ummi memang tahu sifat adik yang suka beraktiviti. Selain menjadi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di TGB, adik juga menyertai pasukan Kadet Bersatu (adik menjuarai larian berhalangan yang di adakan di Kem Terendak, Melaka, dan sepatutnya mewakili maktab ke peringkat kebangsaan, tetapi tidak dibenarkan oleh maktab kerana peperiksaan SPM semakin hampir).
Majlis Graduasi hari itu berakhir dengan meriah dan menyimpan seribu satu memoir indah di hati para pelajar dan ibu bapa mereka, termasuk adik, ummi dan babah. Selesai majlis, kami sempat merakam beberapa keping gambar pada sesi fotografi berbayar di luar dewan, sebagai kenangan. Kami tinggalkan adik bersama rakan-rakannya yang lain untuk meneruskan perjuangan mengulangkaji pelajaran, di saat-saat genting mereka sebagai bekalan menghadapi peperiksaan SPM, yang tinggal 2 minggu lebih sahaja lagi.
Malam semalam, 16hb November, pukul 10:00 malam, adik menalifon ummi dan memohon restu dari ummi dan babah supaya mengampuni segala dosa-dosa adik sekiranya ada.. Adik memohon agar ummi dan babah mendoakan kejayaan adik, agar dipermudahkan urusan adik sepanjang musim peperiksaan. Terdengar adik menangis di hujung talian telefon... Adik risau andaikata adik tidak dapat mencapai keputusan sebagaimana yang diharapkan... Beriya-iya adik menangis....
"Adik nak bagi ummi keputusan exam yang terbaik! Tapi adik takut... Adik tak nak ummi kecewa..!" Berkali-kali adik mengulangi perkataan ini...
Ummi faham perasaan adik! Ummi tahu, setiap anak mahu menghadiahkan yang terbaik buat ibu bapanya... Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa-doa adik. Ummi dan babah telah memaafkan dan mengampuni semua dosa-dosa adik sekiranya ada, kami mendoakan yang terbaik buat adik untuk kehidupan dunia dan akhirat adik. Adik tidak perlu risau jika adik telah berusaha sebaik mungkin... Jawablah soalan-soalan peperiksaan itu dengan tenang dan yakin. Apapun keputusan yang tiba kemudiannya adalah dari Allah s.w.t. Setelah kita benar-benar berusaha, kita berserah pula kepada Allah menentukannya. Ummi dan babah tidak pernah meminta lebih dari kemampuan adik.
Esok, 18hb November 2009, melangkahlah adik dengan penuh keyakinan ke dewan peperiksaan. Tumpukan segala perhatian dan buatlah yang terbaik. Ummi dan keluarga mendoakan agar adik dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan semoga Allah s.w.t. membantu adik serta memberikan kejayaan buat adik....! Jagalah kesihatan adik serta bersolat hajatlah pada Allah pada setiap malam. Bermohonlah padaNya..! Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia Yang Maha Bijaksana! Mohonlah! Semoga dengan dzatNya, adik dirahmati dan diberkati. Adik.. Ummi dan babah merestuimu..! Semoga ALLAH s.w.t bersama adik, dan rakan-rakan seperjuangan adik di TGB dan di seluruh pelusuk negara. Kami mendoakan agar anak-anak semua sihat, selamat dan berjaya dalam peperiksaan SPM ini.
Salam sayang dari ummi, babah dan abang, istimewa buat adik...!
Monday, November 16, 2009 | 3 Comments
Komen Tentang Blog Ini:
*The tale 0f you and I*
you gave walking sticks to others
yet you yourself were limping
you offered a lending hand
but it was you who needed help
you wore shields and armours
but it wasnt the outside that needed protection
you claimed others as foes and threats
yet you stabbed your very own heart
you blamed the time for being envious
was it not you who made the clock?
you walked the road with glitters and jewels
but back in home you slept on dirt
you conquered the lands and the oceans and skies
yet you moaned and screamed in dreams
you were the king of glorious men
but you were held captive of unseen strings
you claimed yourself a proud free man
yet you were chained to your old ventriloquist>
"By the power of Truth...."