feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

AL-FATIHAH


*************************BismillahirRahmanirRahim*************************
Bonda kak Sue
,
HAJJAH SITI AMINAH BT TAHIR telah kembali ke Rahmatullah pada Ahad, 20 Jun 2010 (7 Rejab 1431H). Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan dalam golongan hambaNya yang beriman. Amiiin... Al-Fatihah..

Terima kasih kepada yang sudi menghadiahkan Fatihah kepada bonda. Semoga Allah swt juga memberkati saudara-i...Wassalam.
Al-Fatihah...

Kelmarin Yang Hilang...

Labels: ,

23hb Mac 2011, seperti tahun-tahun yang lalu.. ada yang menangis, ada yang tersenyum dan ketawa riang! Pelajar, ibu-bapa dan guru-guru saling memberi ucap selamat, tahniah dan tidak kurang yang memujuk dengan kata-kata perangsang agar terus berusaha.. Ada yang berjaya dan ada yang kecundang. Tahniah kepada yang cemerlang dan tingkatkan usaha kepada yang kurang berjaya! Ada cerita yang ingin kak su kongsikan bersama pengunjung laman ini....

Gambar atas: Anis Ajeerah bersama Ummi di hari pernikahan saudara baru-baru ini.

Anis... anak gadis yang serba sederhana. Tingkah-lakunya baik, pandai mengambil hati orang dan mudah tersenyum. Memandang wajah Anis membuatkan hatiku bahagia dan sayu. Bahagia kerana Anis telah mengisi kekosongan 'hati ibu' yang selama ini merindui kehadiran seorang anak gadis, kerana kedua-dua anakku adalah lelaki. Jadi, keinginan merasai pengalaman mempunyai anak gadis terlaksana sudah dengan kehadiran gadis manis bernama Anis. Sayu.. kerana meskipun bahagia, namun seketika cuma..

Di siang hari Anis banyak meringankan bebanan kerja rumah ku. Anak gadis yang ringan tulang ini jelas ikhlas membantuku, baik mengemas rumah mahupun memasak di dapur. Meskipun jarang ke dapur kerana selama ini Anis tinggal di sekolah berasrama, namun di rumahku dia sentiasa bersifat ingin membantu dan ingin menguasai kepakaran memasak. Kehadiran Anis aku manfaatkan dengan didikan bersolat jemaah dan membaca Yaasin pada setiap hari selepas subuh dan Maghrib, serta berzikir bersama. Di lewat malam kami akan bersama menunaikan solat Tahajjud dan hajat.

Diharapkan sedikit sebanyak Anis dapat memanfaatkan pengalamannya sepanjang tinggal bersamaku di rumah ini dalam kehidupan hariannya, di mana sahaja dia berada. Kebahagiaan yang hakiki adalah apabila kehidupan seseorang insan itu diberkati oleh Yang Maha Pencipta. Justeru apabila hidup diberkati, hati akan dikurniakan ketenangan dan sifat bersyukur kepada Allah s.w.t. Apa sahaja rintangan kehidupan akan dapat diatasi dengan sabar dan mendapat bantuan dariNya.

Beberapa hari kebelakangan ini Anis Ajeerah seperti tidak senang duduk.. Mungkin hatinya berdebar-debar menanti hari keputusan SPM diumumkan. Malah dia tidak berani ke sekolah untuk menghadapi kemungkinan yang bakal diterima. Dipujuk ayahnya supaya mewakili diri mengambil keputusan SPM-nya. Sebaik mengetahui keputusannya, jelas ternampak riak wajahnya berbaur. Tergamam, sedih dan gembira..! Sebaik gagang telefon diletaknya aku menghampiri gadis yang mesra disapa sebagai kakak itu dan bertanya, " Kakak dapat berapa A..?"
Dia tergamam lagi dan akhirnya menjawab, " 7A ummi..."

"Alhamdulillah.! Ok lah tu kakak.." Kataku.

"Ye, alhamdulillah.. Cuma, kalau dapat 8A lagi bagus, kan ummi..?" sambung Anis sambil mengeluh.

"Kakak dapat apa yang kakak telah usahakan. Kalau ingin lebih berjaya, berusahalah dengan lebih gigih semasa di universiti nanti.."

"Boleh masuk universiti ke ni ummi?" Tanya Anis lagi.

"InsyaAllah.. Subjek Sains dan Math semuanya A, so.. ada harapan lah tu.. Pergi naik atas dan buatlah solat syukur kepada Allah. Mohonlah keberkatan dari Allah, ok..?" Aku memujuk hati Anis yang kerisauan.

Anis akur dengan kata-kata berbau perintah itu. Jelas sekali dia anak yang baik. Bertuah ibu yang melahirkannya ke dunia... Pada malam itu aku memberi beberapa panduan asas kepada Anis dalam pemilihan kursus yang bakal dipilihnya dan peluang serta saingan kerjaya yang berkaitan dengan kursus-kursus pilihannya. Anis memilih untuk samada mengambil kursus perakaunan, perbankan atau analisa pelaburan.

Anak gadis ini sebenarnya mempunyai minat yang mendalam di bidang keusahawanan, bersesuaian dengan pendidikan di bidang perakaunan yang diterimanya di Sekolah Teknik yang dihadirinya selama 2 tahun, dari tingkatan empat ke tingkatan lima. Pencapaiannya yang kurang memberangsangkan semasa PMR menjadikan Anis menjadi lebih optimis dan berusaha lebih keras untuk memperbaiki kejayaan diri dan keluarga! Bapa Anis adalah pesara tentera yang kini menyara kehidupan keluarga seramai 6 orang dengan memandu teksi. Ibu Anis pula bekerja sebagai kerani di Lembaga Hasil Dalam Negeri di bahagian Sumber Manusia. Kehidupan mereka penuh kesederhanaan.

Sebaik mendapat keputusan SPM, Anis berhasrat untuk bekerja sambil belajar demi membantu menyara keluarganya. Kakaknya masih meneruskan pelajaran di sebuah Politeknik dan 2 orang lagi adik-adiknya sedang berada di bangku sekolah menengah. Namun aku menasihati Anis supaya memberi tumpuan kepada pelajaran berdasarkan keputusan yang dicapainya. Biarlah dia membantu ibu-bapa dan keluarganya sebaik selesai ijazah pertamanya nanti. Dengan sijil SPM yang digenggamnya, berapa sangatlah gaji yang bakal diterima Anis sedangkan pada masa yang sama dia juga perlu bertarung dengan masa dan tenaga untuk fokus kepada pelajarannya. Takut nanti "yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.."

"Sementara ibu dan abah masih mampu menyara, kakak belajarlah dulu, supaya usaha yang kakak lakukan selama ini berbaloi dan kejayaan yang dikejar dapat menjadi kenyataan! Sesudah itu barulah boleh menumpukan pula kepada usaha menyara diri dan keluarga." Kataku kepada Anis.

"Ok ummi.." Balas Anis sambil tersenyum.

Sewaktu mengemas bilik setor di rumahku, Anis terjumpa peralatan memasak dan berbagai barang keperluan lain yang pernah aku gunakan sewaktu menjalankan perniagaan suatu ketika dahulu. Matanya bulat bercahaya dan terus bersuara.. "Ummi, kak Anis nak berniagalah! Barang-barang yang ada ni cukup untuk kakak mulakan perniagaan, sementara dapat sambung belajar di mana-mana U... Kak Anis nak mula secara kecil-kecilan dulu, boleh...?"

"Kakak nak berniaga apa dan di mana?"

"Air minuman boleh, Nasi lemak boleh. Yong taufu boleh, otak-0tak boleh...., pisang goreng pun boleh, ummi!" Balas Anis penuh bersemangat!

"Haihh budak ni.. ikutkan barang yang ada memang kakak boleh berniaga macam-macam... tapi, mampu ke? Ada kepakaran, pengangkutan dan pekerja?" Tingkah kak su, bukan mematahkan semangat tetapi supaya Anis lebih realistik dan berperancangan.

"Kalau modal kewangan dan peralatan ada pun, tak lengkap jika tak ada kepakaran dan pekerja, kakak...! Kakak kena ada kedai atau gerai, pengangkutan dan pekerja, barulah perniagaan tu boleh berjalan lancar. Kalau nak mulakan secara kecilan pun kakak perlu ada tempat atau lokasi untuk berniaga dan pastikan ada ramai atau pelanggan yang cukup yang memerlukan kepada perkhidmatan dari perniagaan kakak tu! Di kawasan perumahan ummi ni tidak dibenarkan berniaga kerana di sini kawasan perumahan yang tertutup dan berpengawal. Kakak perlukan kereta sekurang-kurangnya untuk mobilisasi diri dan keperluan perniagaan, betul...?"

Panjang pula kuliah keusahawanan kali ini... (Dalam hati, terasa nak tergelak memandang muka Anis yang begitu serius mendengar kuliahku! Tetapi aku juga terasa sedih kerana tidak dapat membantu merealisasikan impian dan semangat Anis untuk memulakan perniagaannya dalam jangka masa terdekat).

"O00oo, betu, betul, betul..." sahut Anis panjang bak dialog 'Upin dan Ipin' pula bunyinya...

"Nantilah, bagi ummi sedikit masa untuk persiapan perniagaan kakak. InsyaAllah ummi dan akan bincang dengan babah bila babah balik nanti. Sabar ya..?"

"Ok ummi..!" Balas Anis dengan penuh keceriaan.

Keesokan harinya aku mendapat panggilan telefon dari ibu Anis di KualaLumpur, memaklumkan nenek Anis di kampung tidak begitu sihat, menghidapi penyakit paru-paru berair dan sedang keuzuran. Nenek Anis sebenarnya sudah berumur pertengahan 70an, meskipun begitu, beliau adalah seorang guru mengajar Al-Quran yang dedikasi. Anak-anaknya yang tinggal berjauhan kerana tuntutan pekerjaan dan mengikut suami masing-masing, sudah seringkali mengajak ibu mereka tinggal bersama mereka agar senang menguruskan makan minum dan kebajikan ibu mereka. Namun, kerana ingin terus menabur bakti mengajar Al-Quran kepada anak-anak kampung yang dahagakan ilmu, nenek Anis tidak berganjak dari rumah peninggalan suaminya itu. Hidupnya dipenuhi amalan kebajikan untuk anak-anak tersebut. Justeru mendengar berita keuzuran nenek Anis ini, aku menjadi serba salah serta merasakan perlu melakukan sesuatu.

"Kak Anis... kakak nak berbakti pada nenek tak?" Aku bertanya memulakan perbincangan.

"Nak, tapi macamana ummi?" Sahut Anis.

"Kak Anis sedang bercuti panjang kan? Keputusan untuk kelayakan memasuki universiti pun masih lambat lagi.. Jadi, ummi rasa ada baiknya kakak balik kampung menghabiskan baki cuti 6 bulan ni, supaya kakak boleh jaga kebajikan makan minum nenek. Kesian nenek... sorang-sorang di kampung, sakit peningnya tak ada siapa tempat dia bergantung harap, kak...." Aku cuba memancing perhitungan Anis.

"Ummi tau kakak teringin nak berniaga atau bekerja sementara untuk mengumpul duit, tetapi pada fikiran ummi, kalau kakak berbakti pada nenek, fadhilatnya amat besar..", sambungku lagi.

Anis termenung lama.

"So, what's your decision..?" Gesaku.

"Anis ok aje ummi, sementelah neneklah yang jaga Anis semasa Anis kecik-kecik dulu.." Jawab Anis.

"Sebenarnya abang Aqbar pernah menghadapi keadaan sebegini, kakak. Sewaktu neneknya sakit, abang Aqbar tangguhkan niatnya untuk bekerja sewaktu menunggu keputusan SPMnya tahun lepas. Dia balik kampung dan menjaga neneknya siang dan malam, selama 2 minggu di hospital dan satu bulan setengah di rumah nenek di kampung. Sebaik kesihatan nenek agak mengizinkan untuk perjalanan jauh, barulah ummi dan babah membawa nenek ke sini..." Aku bercerita mengenai anakku kepada Anis supaya dapat menyemarakkan semangat Anis untuk berbakti kepada neneknya. Ku rasakan selain keperluan material, keperluan didikan sahsiah dan keagamaan amat perlu diterapkan kepada anak gadis yang berhati mulia ini. Mudah-mudahan dia kembang mewangi di celah-celah debu kehidupan semasa yang penuh pancaroba dan materialistik.

Anis tersenyum sambil bertanya, "Abang Shafiq pun jaga nenek ke ummi?"

"Oh, abang sedang menghadapi peperiksaan pada masa tu. Sebaik abang selesai paper akhir, babah menjemput abang pulang ke rumah nenek! 2 hari kemudian abang terpaksa kembali ke Uia untuk menyiapkan beberapa assigments yang belum selesai. Tapi, 2 minggu kemudian abang Shafiq dapat memberi sepenuh perhatian dan menjaga neneknya selama 3 minggu sewaktu cuti semester. Pagi-pagi abang volunteer untuk bangun memasak dan menyediakan breakfast, serta menyuapkan ubat dan supplement kepada nenek. Sementara tengahari dan malamnya kami bersama-sama menjaga nenek. " Jelasku kepada Anis.

"Ooo.. kakak rasa kakak pun boleh masak dan jaga nenek di kampung! Mesti nenek seronok kalau kakak balik kampung dan dapat berbakti pada nenek, kan ummi?" Ada getaran di hujung suara Anis.. Aku dapat rasakan perasaan Anis berbaur seronok dan sedih. Seronok kerana didorong perasaan ingin berbakti pada neneknya, tetapi sedih kerana terselit perasaan takut, bimbang dengan keuzuran neneknya yang ternyata begitu ketara di akhir-akhir ini..

"Kakak, janganlah bersedih.. kita bagi yang terbaik ok? Selebihnya kita berserah kepada Allah. Ajal maut semuanya di tangan Illahi... Kita sama-sama doakan supaya nenek cepat sembuh, ok?" Aku mengusap bahu Anis untuk mententeramkan perasaannya.

"Ummi... sebenarnya Anis bermimpi gigi Anis tercabut, takutlah...!" desus Anis resah.

"Ummi dan ibu pun ada bermimpi perkara yang sama kak.. Memang kadang-kadang mimpi bertindak sebagai pedoman dari Allah s.w.t untuk memberitahu perkara-perkara yang akan berlaku terhadap diri dan orang-orang yang kita sayangi... Tapi ia juga boleh datang dari mainan jahat syaitan yang ingin memesongkan 'aqidah kita kepada kurafat. Kita harus percaya kepada qada' dan qadar... Ambil ia sebagai pedoman untuk lebih berjaga-jaga dan bersedia, tetapi jangan pula kakak percaya sepenuhnya, ok? " Aku cuba mententeramkan perasaan Anis, namun jauh di sudut hati aku juga berkongsi ketakutan dan kesedihannya.

Aku tahu Anis takut memikirkan kemungkinan melalui peristiwa yang sama dengan aku dan anak-anakku... Kami telah kehilangan nenek anak-anakku.. iaitu ibuku, setelah 6 bulan kami menjaganya dengan penuh kasih sayang... Belum puas kami menabur bakti, Allah s.w.t telah menjemput ibu dengan kasihNya yang melimpah-ruah.. (Semoga ibu damai di sana..). Harapanku semoga nenek Anis sembuh dan dilimpahi kasih sayang Allah s.w.t. Aku juga amat sayang pada nenek Anis! Anak-anak buahnya yang lain memanggilnya 'mak su' tapi aku dan adik beradikku memanggilnya 'mak'...! Hubungan kami amat erat sedari kami adik-beradik masih kecil. Kasihku padanya umpama ibuku yang ke dua...

Setelah mendapat restu dari ibunya, Anis akan pulang ke kampung. Aku mendoakan Anis sentiasa diberkati Allah s.w.t dalam menempuh liku-liku kehidupannya. Sifat-sifat terpuji Anis tersemat di ingatan, manakala sikapnya yang terbuka serta mudah ditegur dan diajar menjadikan gadis manis ini amat istimewa dan unik. Bawalah Anis ke mana sahaja, insyaAllah dia akan dapat menyesuaikan dirinya dengan mudah. Kelmarin Anis masih berada dirumah ini, tersenyum serta bergurau mesra. Hari ini rumah ini terasa begitu sunyi dan kosong! Aku seakan mencari wajah Anis di segenap ruang, namun Anis telah membawa pergi secebis hatiku bersama kelmarin yang hilang...

Ummi rindu pada Anis!


p.s: Anis adalah anak sepupuku...





QUNUT NAZILAH: Bacaan Dan Kegunaan

Labels:


Qunut Nazilah mempunyai beberapa versi. Dibawah adalah versi yang saya hafal dan selalu gunakan. Ia boleh dibaca selepas ruku' terakhir sewaktu mana-mana solat wajib /fardhu, ketika terjadi musibah yang menimpa diri, keluarga atau umat Islam.

Bacaan Qunut Nazilah:


Terjemahan makna:

Ya Allah, sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka
Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing Mu ke atas mereka
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan Yang Maha Penghukun
Wahai Tuhan yang bersifat murka
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah
Wahai Tuhan yang menurunkan Kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab
Kalahkan mereka dan menangkan kami ke atas mereka.

Perkataan "an Nazilah” artinya: Musibah, bencana, atau malapetaka.Bermakna, qunut Nazilah adalah qunut untuk mendoakan kebaikan (kemenangan) bagi kaum Muslimin dan mendoakan kebinasaan bagi kaum Kafir atau Musyrik yang menjadi musuh Islam.

Rasulullah saw tidak qunut melainkan apabila baginda hendak mendoakan kebaikan atau mendoakan kebinasaan atas suatu kaum. Maka apabila baginda qunut, itu menunjukkan ada musibah yang menimpa ummat Islam dan dilakukan selama satu bulan berturut-turut dalam solat fardhu.

Dari Anas r.a, ia berkata: “Rasulullah saw pernah membaca doa qunut Nazilah selama satu bulan setelah bangkit dari ruku’, yakni mendoakan kebinasaan untuk satu kabilah Arab, kemudian beliau meninggalkannya (tidak melakukannya lagi).” Sahih Bukhari no.677 (304), Muslim [II/203-204].

Qunut Nazilah ini hukumnya sunat danboleh dibacakan pada lima waktu solat fardhu/wajib; Subuh, Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan Isyak. Bacaan doa qunut ialah sewaktu berdiri sesudah ruku’ di rakaat akhir.

“Sungguh aku akan mendekatkan kamu dengan solat Rasulullah saw. Maka, Abu Hurairah kemudian qunut dalam rakaat yang akhir dari solat Zuhur, Isyak dan Subuh, sesudah ia membaca: ‘Sami’allahu liman hamidah.’ Lalu ia mendoakan kebaikan untuk orang-orang Mukmin dan melaknat orang-orang kafir.” [Hadits shahih riwayat al-Bukhari (no. 797) dan Muslim (no.676 (296).

Hadis-hadis yang menetapkan bahwa Rasulullah membaca doa qunut pada setiap solat Subuh semuanya dha’if (lemah) dan tidak dapat dijadikan hujjah. Justeru, hukum mengatakan qunut Subuh wajib dibaca pada setiap kali solat Subuh adalah bid’ah semata-mata.

Bacaan do’a qunut yang berbunyi : “Allahummahdinii fiiman hadait ...” Adalah bacaan untuk do’a qunut Witir dan bukan bacaan do’a qunut Subuh, sebagaimana yang telah diamalkan oleh kebanyakan kaum Muslimin pada saat ini dan di negara ini khususnya.

Bagaimanapun, mengangkat tangan ketika membaca doa qunut dan mengaminkannya setelah selesai bacaan adalah sahih sunnahnya. Tetapi, mengusap wajah sesudah qunut atau doa, tidak ada satu pun riwayat mengenainya, maka perbuatan ini adalah bid’ah.





LIFE.

Labels:











I found these poems @:





O! Budu O! Tempe..

Labels: , ,

Budu sebagai makanan dan Produk Kosmetik:


BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.
“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.
Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.
“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.
Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga. Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.
“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.
Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat. Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.
Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau. Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz. Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.
Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan. Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja. Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula. Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.
“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.
“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.
Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi. Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.
Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu. Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.
Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.
Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad. Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.
“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.
“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.
Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket. Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.
“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.
“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.

Budu cerahkan kulit dan anti penuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun. Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.
“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.

Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.
“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.
“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.
“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu. Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.
Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.
“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.
“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya.
Produk kosmetik daripada Tempe:
Sirim sudah memulakan siri kaji selidik terhadap banyak bahan semula jadi yang berupaya memberi kebaikan kepada kulit manusia sejak 10 tahun lalu
untuk kesejahteraan kulit wajah manusia seperti tempe dan hidupan marin, ikan bilis yang diperap menjadi budu. Bilis yang diperam menjadi budu mempunyai bahan tertentu yang berfungsi baik tanpa bahan kimia merbahaya terhadap kulit wajah -
Penasihat Kanan, Program Produk Semula Jadi dan Biokosmetik Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri SIRIM, Rozanida Tan Sri Abdul Rahman

Rozanida juga bertanggungjawab merumus formula kedua-dua bahan tradisional berkenaan berkata, SIRIM bertindak melakukan kajian terhadap bahan terpilih itu untuk membantu usahawan bidang kecantikan menggunakan bahan tempatan kerana hasil daripada produk tempatan juga tidak kurang hebat.


“Sebelum mengkomersilkan produk ini juga, kami sudah menjalankan ujian terhadap sekumpulan individu yang menjalani ujian penggunaan bahan ini bagi mengesahkan mutu produk dan selamat digunakan. Selepas mendapati hasilnya memuaskan, barulah kami ingin menawarkan kepada usahawan memperkenalkan produk ini kepada pengguna,” katanya.

“Tempe adalah bahan semula jadi daripada kacang soya yang boleh mencerahkan kulit dengan cara yang selamat. Ia tidak mengandungi bahan peluntur dan produk pemutih yang menghakis kulit".


“Saya melakukan kajian terhadap sel kolagen yang dirawat dengan tempe yang sudah diekstrak dan hasilnya menjadikan kulit wajah lebih cerah tanpa meninggalkan kesan bahaya. Modul ujian yang dilakukan adalah membandingkan antara sukarela yang menggunakan produk daripada tempe dan sebaliknya,” katanya.

Produk berasaskan tempe itu bukan bertindak memutihkan kulit secara total, tetapi dalam istilah penggunaan kosmetik, produk berkenaan mencerahkan kulit di samping tidak mematikan sel kulit.

Katanya, terdapat empat produk yang sudah dihasilkan daripada tempe iaitu facial cream cleanser, purifying tuning mist, moisturising day cream dan reforming night cream.


Sehubungan itu, Rozanida meminta mana-mana usahawan yang berminat memasarkan produk daripada bahan tradisional itu, mereka bolehlah menghubungi SIRIM untuk urusan selanjutnya.

– MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.

Baca juga:

Terima kasih kerana sudi membaca......




Aurat: Cara Berpakaian

Labels: ,


Aurat (Arab: عورة‎) merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Definisi Aurat Lelaki
Dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, aurat lelaki ialah di antara pusat dengan lutut, ini termasuk ketika berada di kalangan lelaki dan juga perempuan. Ini bermaksud, mereka seharusnya menutup alat kemaluan dan bahagian di antara pusat dan lutut setiap masa kecuali atas dasar privasi. Mereka juga wajib memakai pakaian yang longgar dan tidak telus bagi mengelakkan warna kulit dan juga bentuk badan dilihat oleh golongan bukan ajnabi.

Definisi Aurat Perempuan

Aurat wanita sangat komplikated dan berubah mengikut situasi:

  • Dihadapan mahram (saudara lelaki rapat), seseorang wanita itu wajib menutup seluruh badannya kecuali kepala dan tangan.
  • Di hadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah di antara pusat hingga lutut.
  • Aurat di hadapan sesama wanita bukan Islam menjadi perdebatan. Sesetengah ilmuwan menyatakan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Sementara, sesetengah ilmuwan lain berpendapat aurat perempuan muslim kepada bukan wanita bukan Islam ialah sama ketika mana mereka berada dengan sesama wanita Islam.
  • Aurat di hadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Tetapi terdapat ilmuwan berpendapat, muka adalah aurat. Isu ini berlarutan termasuk yang sudah berlalu dan sedang berlaku, adakah ia hanya keafdalan atau hukum.
  • Aurat ketika solat ialah wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

* Sesetengah ilmuwan berpendapat suara wanita juga adalah aurat. Justeru itu wanita tidak boleh melunakkan suaranya sewaktu berurusan dengan lelaki bukan mahram. 'Menjual suara' sebagai sumber pekerjaan seperti penyanyi yang menyanyi lagu-lagu yang melalaikan adalah haram (kecuali nasyid dan lagu-lagu yang menyeru ke arah keislaman, pembacaan Al-Quran dengan tujuan belajar dan mengajar) atau dalam hal-hal yang mendatangkan faedah yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Dalil Al- Quran dan Hadis

"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)". (Surah Al-A’raaf : Ayat 26).
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada
  • suami mereka atau
  • bapa mereka atau
  • bapa mertua mereka atau
  • anak-anak mereka, atau
  • anak-anak tiri mereka atau
  • saudara-saudara mereka atau
  • anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
  • anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
  • perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau
  • orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
  • kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

"dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur : Ayat 31).

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)

"Jika salah seorang kamu mengahwinkan hamba lelakinya kepada hamba perempuannya atau kepada pekerjanya, maka janganlah hamba perempuan itu memandang kepada sesuatu dari ‘auratnya (‘aurat tuannya). Maka sesungguhnya apa yang di bawah pusat sehingga lututnya adalah ‘aurat." (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Aisyah meriwayatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk ke rumah Rasulullah s.a.w dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya. Kemudian beliau berpaling dan mengatakan: "Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini - sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Hadis riwayat Abu Daud).


Cara Lelaki Islam Menutup Aurat
Kaum lelaki tidak mempunyai masaalah yang besar untuk mencari pakaian yang menutupi aurat mereka memandangkan kategori aurat mereka hanya dari paras pusat hingga ke lutut sahaja. Allah s.w.t tidak memberati kaum lelaki dengan penutupan aurat memandangkan mereka mempunyai tugasan yang besar sebagai ketua keluarga yang harus keluar bekerja untuk menyara kehidupan, di samping mereka juga tidak memiliki bentuk tubuh badan yang boleh menimbulkan syahwat berbanding dengan kaum wanita. Dengan berbaju kemeja samada berlengan panjang atau pendek dan berseluar panjang atau separas lutut, sudah lebih dari memadai bagi seorang lelaki untuk memenuhi syarat menutup aurat dalam Islam.

Cara Wanita Islam Menutup Aurat

1- Menutup tubuh (kecuali muka dan tangan)

Memakai Jilbab: Jilbāb (Arab: جلباب‎) merupakan perbuatan melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) untuk isteri-isteri dan anak-anak perempuan serta perempuan-perempuan yang beriman.


P

enggunaan jilbab dalam kehidupan umum akan mendatangkan kebaikan bagi semua pihak. Dengan tubuh yang tertutup jilbab, kehadiran wanita jelas tidak akan membangkitkan syahwat lelaki. Sebab, naluri seksual tidak akan muncul dan menuntut pemenuhan jika tidak ada faktor yang merangsangnya. Dengan demikian, kewajipan berjilbab telah menutup salah satu faktor yang boleh membawa manusia terjerumus ke lembah perzinaan; suatu perbuatan menjijikkan yang amat dilarang oleh Islam.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan (jilbab) pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab : Ayat 59)

Rasulullah memerintahkan kami untuk keluar pada Aidil Fitri dan AidilAdha, baik gadis yang menginjak akil baligh, wanita-wanita yang sedang haid, mahupun wanita-wanita pingitan. Aku bertanya, "Wahai Rasulullah, salah seorang di antara kami ada yang tidak memiliki jilbab?" Rasulullah menjawab, "Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbabnya kepadanya." (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis ini, di samping, menunjukkan kewajipan wanita untuk mengenakan jilbab ketika hendak keluar rumah, juga memberikan pengertian jilbab; bahawa yang dimaksud dengan jilbab bukanlah pakaian sehari-hari yang biasa dikenakan dalam rumah. Sebab, jika disebutkan ada seorang wanita yang tidak memiliki jilbab, tidak mungkin wanita itu tidak memiliki pakaian yang biasa dipakai dalam rumah. Tentu ia sudah memiliki pakaian, tetapi pakaiannya itu tidak dikategori sebagai jilbab.

Dalam konteks semasa, pakaian jilbab boleh berupa jubah yang labuh, kemeja atau blaus berlengan panjang yang dikenakan bersama sarung atau skirt labuh, seluar panjang atau sebarang pakaian yang longgar (tidak mengikut bentuk badan) dan menutupi bahagian aurat wanita.

Gambar ehsan dari Imani Collections.

2- Menutup aurat kepala (rambut dan muka)

Memakai Tudung: Tudung atau kerudung merupakan pakaian yang digunakan untuk menutup bahagian kepala seorang wanita. Bertudung adalah perintah Allah kepada setiap wanita Islam. Setelah seseorang wanita memeluk Islam maka wajib baginya bertudung sebagai sebahagian dari menutup aurat. Sementara kerudung sendiri di dalam al-Qur'an disebut dengan istilah khumur, sebagaimana terdapat pada surah An-Nuur ayat 31: "Hendaklah mereka menutupkan khumur (kerudungnya) ke dadanya."

Walaupun agama Islam mewajibkan pemakaian tudung bagi menutup rambut wanita Islam, namun perundangan setiap negara mengenai pemakaian tudung berbeza-beza.

  • Di sesetengah negara Arab, pemakaian tudung (atau salah satu keluarganya) diwajibkan. Di sesetengah negara lain pula, ia tidak diwajibkan, tetapi merupakan adat masyarakat.
  • Di sesetengah tempat seperti di rantau Asia Tenggara, tudung dilihat sebagai pilihan peribadi. Ia merupakan hak wanita itu sendiri untuk memakainya atau tidak.
  • Jenis-jenis tudung termasuklah: Tudung labuh, mini telekung, tudung bersegi seperti tudung bawal, selendang dan skarf. Cara pemakaian bergantung kepada individu asalkan ia menutupi rambut dan leher hingga ke paras dada.
Gambar ehsan dari Imani Collections.

Memakai Niqab: Niqab (Arab: نقاب‎, niqāb) atau purdah ialah sejenis kain yang menutupi wajah, dikenakan oleh beberapa golongan perempuan Muslim sebagai sebahagian daripada tudung / jilbab.

Niqab sering dipakai di negara-negara Arab sekitar Teluk Parsi seperti Arab Saudi, Yaman, Bahrain, Kuwait, Qatar, Oman dan UAE. Ia juga biasa dipakai di Pakistan dan sesetengah wanita Muslim di United Kingdom.

Isu pemakaian niqab / purdah di kalangan wanita telah meneruskan membangkitkan perbahasan antara cendekiawan Islam dan pakar undang-undang sejak dahulu sehingga sekarang, samada ia fard (wajib) atau Mustahabb (amat dicadangkan / harus) untuk seorang wanita untuk pakai niqāb.

Cadangan pembelian pakaian Muslimah secara online:

http://imanicollections.wordpress.com/

http://www.najjah.com/shop/

http://www.butikdqaseh.com/

http://butikmuslimahhana.blogspot.com/

Nota: Penulis tidak mempunyai sebarang hubungan / kepentingan dengan butik-butik di atas.





Komen Tentang Blog Ini:

Related Posts with Thumbnails

Photo Albums at WiddlyTinks.com
Lilypie Kids Birthday tickers
***KEREDHAAN ALLAH terletak pada keredhaan kedua orang tua (ibu bapa), dan KEMURKAAN ALLAH terletak pada kemarahan orang tua***HR At-Tarmidzi.
Lilypie Kids Birthday tickers
YA ALLAH...
JADIKANLAH IBU BAPAKU, SUAMIKU, ANAK-ANAKKU DAN AKU, SEBAGAI HAMBA2MU YANG SOLEH...
BERKATILAH HIDUP KAMI DENGAN RAHMATMU... IZINKAN KAMI MENGHUNI SYURGAMU... LINDUNGI KAMI DARI API NERAKAMU...
Daisypath Anniversary tickers
Kasihanilah KAMI dan SAUDARA2 ISLAM KAMI... Ampuni dosa2 kami...Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Pengampun...
LAPIS...Lapis...Lapis...MY PASSION...


I Love Cheesecake.......!!!
.........and I love indian foods!!!

Sabda Rasulullah s.a.w;
"Seorang wanita yang mentaati suaminya serta menjaga solat dan puasanya, maka tertutuplah pintu-pintu neraka baginya dan masuklah ia ke mana-mana syurga yang disukainya..."
~WELCOME TO MY BLOG~
Dan... Syurga itu di bawah tapak kaki ibu...

Anok Tupai I & II ~Halim Yazid, Layaaannn..........

Jom kita Tai chi...
Warm up lah dulu...
Yeaah...Gerak kiri/kanan cam nak bersilat...
Pusing bahu n Lenggang kiri/kanan...
Bongkok n Pusing kepala..!
Lor... Ko amik gambo ker..?
Adehh... Sakit pinggang la plak..!
Hahaha.... Pasal tak leh stop ni...?


*The tale 0f you and I*


you gave walking sticks to others

yet you yourself were limping

you offered a lending hand

but it was you who needed help

you wore shields and armours

but it wasnt the outside that needed protection

you claimed others as foes and threats

yet you stabbed your very own heart

you blamed the time for being envious

was it not you who made the clock?

you walked the road with glitters and jewels

but back in home you slept on dirt

you conquered the lands and the oceans and skies

yet you moaned and screamed in dreams

you were the king of glorious men

but you were held captive of unseen strings

you claimed yourself a proud free man

yet you were chained to your old ventriloquist>

"By the power of Truth...."